Tuesday, 23 June 2015

Kumpulan 6

KUMPULAN 6

Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu.

            Sajak di atas yang dipetik daripada ‘ Harga Remaja’ telah memaparkan kepentingan remaja menjaga maruah diri sendiri. Dukacitanya, belakangan ini, seribu satu isu yang melibatkan remaja sering menjadi mauduk perbualan yang meniti dari bibir ke bibir. Sama ada di dada-dada akhbar mahupun yang terpancar melalui kaca televisyen, isu panas yang berkaitan tingkah laku belia  tetap menjadi sajian yang meloyakan. Masalah sosial seperti pergaulan bebas, merempit, merokok, menagih dan jenayah telah meningkat secara mendadak. Fenomena ini amat merisaukan pelbagai pihak kerana remaja kini yang semakin berkelakuan keterlaluan dan memalukan induk sendiri merupakan barisan pemimpin negara yang akan memimpin tanah air kita ke mercu kemajuan sejajar dengan slogan pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Tokoh pendidik dan motivasi terulung dunia, Aminuddin Baki pernah menyatakan ‘ Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’. Kata-kata tersebut benar-benar menyuntik kesedaran agar kita insaf dan bangkit daripada lamunan. Banyak forum telah diadakan semata-mata untuk membincangkan fonemena yang kian membimbangkan ini. Pelbagai pandangan telah diluahkan, beraneka saranan diutarakan dengan satu sahaja matlamat iaitu, masalah yang kian meruncung ini akan dapat dibendung supaya tidak lagi membelenggui masyarakat kita.Namun, keadaan tetap tidak berubah, malah semakin parah. Siapakah yang harus kita persalahkan dalam hal ini? Jikalau dikaji ke akar umbinya, isu hangat ini berlaku kerana kebanyakkan ibu bapa hari ini memandang ringan terhadap aspek keagamaan dalam kehidupan mereka. Mereka  agak leka terhadap pendidikan agama untuk diberikan kepada anak-anak. Oleh itu, marilah kita meneliti punca dan tanggungjawab ibu bapa dalam hal ini yang mewarnai focus perbincangan dengan terperinci demi kebaikan bersama

            Apakah imej yang sering menjajahi benak fikiran kita apabila frasa tentang masalah social disebut? Sudah pasti terdapat pelbagai hipotesis dan analogi yang akan menyelubungi pemikiran bagi mencari jawapan tepat berhubung soalan tersebut. Sesungguhnya kini, gejala social sedang melanda negara pada tahap yang agak serius. Tuntasnya, masalah ini acap kali dikaitkan dengan kesibukan ibu bapa sehingga mengabaikan didikan agama anak- anak. Sebagai memperkukuhkan lagi pernyataan tersebut, apabila ibu bapa sibuk bekerja setiap hari, sudah tentunya gagal meluangkan masa untuk menumpukan perhatian terhadap pendidikan agama anak-anak. Tahukah anda, arus modenisasi dan materialistik telah mengheret sekelompok besar institusi rumah tangga menjadi goyah dan pincang. Keghairahan mengejar wabg ringgit, pangkat, dan martabat menjadi kiblat manusia moden. Hidup ‘ ala nafsi-nafsi siapa lu siapa gua’ telah menjadi sebahagian budaya songsang masyarakat Bandar. Misalnya, ibu bapa bergitu sibuk bekerja secara bertungkus lumus untuk mencari nafkah bagi menampung kos perbelanjaan keluarga yang tinggi sehingga menyisihkan anak- anak. Situasi ini bagaikan anak kera di hutan disusui, anak di rumah pula mati kelaparan. Natijahnya, anak-anak terbiar dalam kedahagaan kasih saying bak laut yang luas tanpa sempadan. Demi mengubati kehibaan dan kehausan kasih saying anak-anak hanya ditemani oleh kad-kad visa dan kad kredit yang menjadi lambing status masyarakat elit kini. Akhirnya dengan kuasa wang, anak –anak akan hidup bebas tanpa pemantauan ibu bapa yang sewajar dan berkemungkinan besar melepasi batasan moral, akhlak, dan agama. Jadi, sememangnya kebejatan sosial akan berkembang tiada noktahnya akibat kesibukan ibu bapa sehingga mengabaikan pendidikan agama anak-anak.

                  Satu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah sesetengah ibu bapa kadang-kadang beranggapan bahawa tugas mendidik merupakan tugas sekolah semata-mata.Ramai ibu bapa bersikap lepas tangan dan menyerahkan sepenuhnya usaha mendidik anak-anak kepada guru di sekolah. Namun ibu bapa perlu mengetahui bahawa pendidikan di tahap awal sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa. Hal demikian bertepatan dengan sebagaimana Rasulullah s.a.w membayangkan tentang anak-anak yang baru lahir itu diibaratkan seperti kain putih yang bersih. Ibu bapalah yang membentuk perwatakan dan peribadi anak-anak itu sama ada cenderung menjadi baik atau sebaliknya. Namun, kemelut yang merunsingkan ini berlaku kerana ibu bapa sendiri yang kurang menerima dan mendalami didikan agama masing- masing. Apabila ibu bapa tidak menyedari kepentingan pendidikan agama terhadap diri sendiri, bagaimanakah mereka akan menitikberatkan keagamaan semasa mendidik anak-anak mereka? Sesungguhnya, ketandusan agama dan iman yang setebal kulit bawang boleh mencetuskan nafsu seseorang insan untuk melakukan angkara yang akan mencemarkan harga diri dan menconteng arang ke muka ibubapa. Dengan kadangkalan ilmu agama seseorang itu gagal untuk membezakan antara fardhu dan rukun mahupun haram atau halal. Oleh itu, setiap tindakan hanyalah berlandaskan pertimbangan akal yang dangkal dan hanya bertindak secara membujur lalu melintang patah. Jikalau ibu bapa gagal menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak, tidak mustahil bahawa remaja akan mudah terpengaruh oleh runtunan nafsu syhwaniah ajakan syaitan daripada memlih landasan takwa yang ditentukan oleh Tuhan. Adakah itu kesudahan yang diinginkan oleh ibu bapa? Saya yakin bahawa jawapannya adalah sama sekali tidak. Tegasnya, masalah sosial akan berlaku sekiranya ibu bapa leka terhadap tanggungjawab masing-masing dalam member pendidikan agama  dan seterusnya menyisihkan nilai keagamaan yang wajar diamalkan.

            Setelsh meneliti sebab-sebab masalah sosial berlaku, terdapat seribu satu tanggungjawab yang perlu digalaskan oleh kedua-dua ibu dan bapa suapaya masalah ini tidak terus menular dalam kalangan pemimpin masa hadapan. Tanggungjawab merupakan amanah yang amat vital sekali untuk ditunaikan sejajar dengan sepotong Hadith Raukukkah yang bermaksud ‘ Setiap daripada kamu mempunyai tanggungjawab. Setiap yang dipertanggungjawabkan akan disoalkan ke atas setiap diri mereka’. Inilah doktrin yang perlu dipegang teguh oleh ibu bapa. Dalam isu ini, prakarsa yang paling mujarab ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang dapat dicontohi oleh anak-anak, seperti peribahasa Melayu yang berbunyi bagaimana acuan begitulah kuihnya. Hal ini dikatakan demikian kerana anak-anak akan mudah mencontohi setiap perilaku ibu bapa mereka. Tamsilnya, mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni supaya mereka menjadi insan yang soleha dan mulia sememangnya menjadi tanggungjwab hakiki para ibu bapa. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengerjakan solat lima waktu setiap hari walaupun dalam kesibukan, Selain itu, mereka juga perlu mengatam dan mengaji al- Quran supaya dapat sentiasa memperingatkan anak-anak supaya memegang kuat kepada ajaran agama. Teguran secara berhemag juga diperlukan semasa anak-anak melakukan kesilapan seperti terjebak dalam kemelut sosial supaya mereka tidak akan mengulangi kesalahan tersebut. Jadi sudah terang lagi bersuluh bahawa ibu bapa perlulah menjadi teladan yang betul kepada anak-anak dan diharapkan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa, bak kata peribahasa bapa borek anak rintik.

           
                 Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Mereka perlu senantiasa memantau anak-anak dari segi percakapan dan perlakuan. Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah bagai me ncurahkan air ke daun keladi. Seterusnya, ibu bapa boleh membawa anak-anak untuk menyertai pelbagai aktiviti dan ceramah yang berkaitan dengan keagamaan. Misalnya, ceramah agama akan mendidik para remaja tentang kepentingan keagamaaan di duniawi dan akhirat nanti. Setiap penyakit pasti ada penawarnya, masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibubapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit. Dengan pemantauan daripada ibu bapa, sudah tentu para belia akan menghindari anasir-anasir buruk yang menjadi duri daging dalam pembangunan negara kita, janganlah sampai sudah terhantuk baru tengadah.


            Konklusinya,  ibu bapa bertanggungjawab dalam memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Pendidikan agama akan membentuk akhlak anak-anak dan menentukan masa hadapan mereka. Ibu bapa perlu mencontohi ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa. Ibu bapa perlu memastikan kelekaan terhadap pendidikan agama tidak sama sakali berlaku kerana keimanan yang tidak teguh akan membawa kemudaratan terhadap seseorang individu. Sehubungan dengan itu,semua pihak yang terbabit mestilah menggemblengkan tenaga dan mengamalkan sikap seiring, serentak dan sehati sejiwa untuk melahirkan remaja yang berkualiti lagi produktif demi menyahut Visi Kudsi 2020. Dengan uslub yang berterusan dan konsisten, sudah tentu masalah social yang kian meruncing ini dapat dibendung daripada terus membelenggui golongan remaja kini. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya, saya percaya bahawa dengan usaha daripada semua pihak dalam menangani isu ini, pasti akan membuahkan hasil yang memuaskan. Mudah-mudahan, adakah kita menginginkan modal insan yang intelektual dan bersahsiah tinggi ataupun individu yang terjebak dalam isu-isu social untuk memimpin nusa tercinta ini? Tepuk dada tanyalah selera.

No comments:

Post a Comment