Punca berlaku masalah sosial dan tanggungjawab ibu bapa menanganinya
Dalam meniti arus pemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Masalah sosial adalah suatu ketidaksesuaian antara unsur-unsur kebudayaan atau masyarakat yang membahayakan kehidupan kelompok sosial. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat ke dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, ketagihan dadah hinggalah kepada mat rempit.Barangkali ada benarnya sesetengah pendapat yang meletakkan bebanan punca ke atas ibu bapa.Mereka dikatakan pihak pertama dipertanggungjawabkan oleh Tuhan untuk membentuk zuriat yang dikurniakan.Malangnya,mereka tidak melaksanakan tugas yang diamanahkan itu dengan betul iaitu ibu bapa kurang memberikan didikan agama kepada anak-anak. Peranan ibu bapa begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga ibu bapa diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Anak-anak yang dilahirkan ke dunia ini seumpama kain putih, tangan ibu bapalah yang mencoraknya. Satu soalan pasti berlegar-legar dalam benak kita iaitu, “Apakah punca masalah sedemikian terjadi dan apakah tanggungjawab ibu bapa dalam menangani gejala tersebut?”
Punca pendidikan agama diketepikan oleh ibu bapa termasuklah kesibukan ibu bapa dalam pekerjaan.Hal ini demikian kerana pada zaman materialistik ini, ibu bapa lebih menuju ke arah kehidupan duniawi.Mereka bekerja sehingga waktu malam untuk mendapat pendapatan yang tinggi bagi menyara keluarganya tanpa berfikir tentang keadaan anak-anak mereka yang berada di rumah.Faktor ini merupakan salah satu sebab ibu bapa kurang memberi didikan agama kepada anak-anak kerana mereka tidak mempunyai masa untuk pergi tempat beribadah dan mereka juga tidak ada masa untuk mendidik didikan agama kepada anak-anak mereka sewaktu berada di dalam rumah.Bukan setakat itu sahaja ,tekanan yang dihadapi oleh ibu bapa semasa waktu bekerja juga menjadi penyumbang yang mendorong mereka untuk mengetepikan pendidikan agama dalam kehidupan mereka.Hal ini tercetus apabila, ibu bapa pulang ke rumah dalam keadaan tertekan,mereka tidak ada minat untuk mendidik atau mengasuh didikan agama kepada anak-anak mereka.Pepatah Melayu ada meyebut "bagaimana acuan begitulah kuihnya ".Pepatah ini membawa maksud bagaimana kelakuan ibu atau bapa,begitulah kelakuan anaknya.Sebagai contohnya,sesetengah ibu bapa,apabila pulang dari pejabat mereka terus mandi dan tidur.Mereka tidak bersembahyang kerana keletihan bekerja.Perkara ini juga diikuti oleh anak-anak mereka apabila anak -anak mereka pulang dari sekolah ,mereka juga mengikut perkara yang dibuat oleh ibu bapa mereka.
Selain itu,ibu bapa pada zaman muasir ini mudah terikut atau terpengaruh dengan gaya hidup dan cara hidup barat.Pencerobohan budaya luar semakin mempengaruhi hampir semua aspek kehidupan seperti cara pemakaian,makanan mahupun cara pemikiran. Mereka seolah-olah mengagung –agungkan budaya asing. Mereka beranggapan bahawa budaya asing yang diikuti adalah cara hidup moden yang seiring dan sesuai dengan dunia yang kini semakin canggih dan moden.Sebaliknya,mereka menganggap bahawa cara hidup berlandaskan ajaran agama adalah kuno dan tidak lagi boleh diguna pakai pada zaman moden ini. Natijahnya, wujudlah kelompok masyarakat yang mempunyai keimanan yang rapuh dan nipis senipis kulit bawang dalam diri mereka. Segelintir ibu bapa juga mengamalkan budaya hedonism iaitu budaya yang mengutamakan aspek keseronokan diri seperti memiliki barangan yang berjenama, minum arak, berjudi, bermain muzik, dan berhibur di kelab-kelab malam. Hal itu sememangnya mempesonakan dan menggiurkan sesetengah golongan ibu bapa .Justeru,hal ini menyebabkan ibu bapa tidak mempunyai pegangan dalam hidup dan bertindak menjalani kehidupan mengikut cara mereka sendiri.Anak-anak akan mengikut jejak langkah ibu bapa mereka kerana bagaimana gendang dipalu,begitulah rentak tarinya Apabila keadaan ini terjadi,anak-anak akan mudah terjebak dalam gejala sosial kerana ibu bapa tidak mampu menunjukkan uswah hasanah yang patut dicontohi oleh generasi muda. Ibu bapa juga gagal mementingkan aspek lahiriah dan rohaniah dalam diri mereka dan anak-anak.
Melentur buluh dari rebungnya merupakan peribahasa yang menunjukkan sesuatu asas latihan itu hendaklah dimulakan dari awal. Anak-anak yang bagaikan kain putih yang suci lagi kudus perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya dengan didikan agama. Anak-anak tentunya dapat mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian justeru membentuk keperibadian yang baik. Melalui nasihat dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak dapat membezakan antara intan dengan kaca. Nilai agama merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak dan membantu menangkis segala anasir yang negatif daripada anak-anak. Oleh itu, ibu bapa yang merupakan suri teladan harus memainkan peranan yang penting dalam mempamerkan disiplin yang tinggi dan, jangan sesekali menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menghadirkan diri dalam ceramah dan program keagamaan bersama anak-anak mereka demi meningkatkan nilai keagamaan dalam diri anak mereka. Ibu bapa juga perlu mengatasi kelemahan atau apa-apa perbuatan negatif pada diri mereka agar tidak mempengaruhi anak-anak mereka untuk mencontohinya dan melakukan gejala sosial. Institusi keluarga merupakan salah satu langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak yang baik. Tuntasnya, ibu bapa hendaklah membuka fikiran seluas padang pasir bahawa agama merupakan benteng kepada mereka menempuh arus modenisasi kini dan mengelakkan mereka daripada terjerumus ke dalam kancah masalah sosial.
Seterusnya,ibu bapa juga boleh membekalkan bahan bacaan berkaitan keagamaan kepada anak-anak mereka. Melalui tindakan tersebut, anak-anak mendapat pengetahuan yang luas tentang agama mereka.Adat dan kepercayaan bagi sesebuah keluarga harus diamalkan oleh ibu bapa dan mendedahkan tradisi tersebut kepada anak-anak mereka.Hal ini dapat mempertingkat dan memperteguh kefahaman terhadap agama mereka serta melalui pegangan agama anak-anak dapat membezakan perkara baik dan buruk dalam kehidupan mereka. Ibu bapa juga boleh menceritakan kepada anak-anak mereka tentang tokoh-tokoh agama dan sumbangan mereka terhadap agama.Walaupun didikan agama diberikan secara lisan, tetapi anak-anak dapat mengenali tentang sejarah sesuatu agama dan kepentingan mengamalkannya dalam kehidupan.Ibu bapa patut menggalakkan anak-anak mereka menonton siaran berkaitan keagamaan daripada membazirkan masa menonton siaran yang tidak memberikan apa-apa manfaat atau faedah.Uslub tersebut dapat mengelakkan anak-anak daripada terpengaruh dengan perkara yang negatif. Anak-anak akan mempunyai kalbu zakiah dan mengamalkan sikap dan perwatakan yang murni.Hal ini juga dapat mengelakkan daripada terlahirnya generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya.
Intihanya, ibu bapa perlu memantapkan kemahiran keibubapaan mereka lagi dalam mendidik anak-anak. Contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang cukup hebat mendidik anak-anaknya berorientasikan Al-quran dan al-Hadis. Kita tidak mahu remaja-remaja yang bobrok dan kaya dengan pidana dihasilkan. Sebaliknya, kita inginkan barisan remaja yang berkaliber, cukup syumul dan utopia hasil didikan kedua-dua ibu bapa mereka kerana remaja merupakan para cendekiawan dan barisan pemimpin masa hadapan.Kita juga berharap agar golongan pewaris negara yang tercinta ini terdiri daripada insan yang berdisiplin tinggi dan berpekerti terpuji. Marilah kita berubah, “sebelum padi di tangan menjadi lalang” dan “ayam ditambat disambar helang”, ayuhlah ibu bapa, berkorbanlah demi masa depan anak-anak tercinta.
No comments:
Post a Comment