Saturday, 7 February 2015

Cara-cara untuk menjadi pengguna yang bijak ( Kumpulan 6)

          Tindakan pragmatik yang selanjutnya ialah pengguna haruslah berprihatin dalam mengambil tahu produk yang ingin dibeli. Maklumlah, tarikh luput makanan merupakan unsur signifikan semasa memilih bahan makanan yang selamat dinikmati oleh para pengguna. Jikalau pengguna tidak memeriksa tarikh luput dengan teliti,  tindakan tersebut akan mengundang padah yang buruk. Pengguna turut perlu mengambil tahu tentang khasiat dan kandungan makanan terdahulu. Kita seyogianya meneliti sesuatu produk makanan waima ia membawa kemaslahatan kepada tubuh badan kita atau tidak sebelum kudis menjadi tokak. Selain daripada kandungan dan khasiat , kita mestilah memerhati harga sesuatu produk. Langkah tersebut dapat memastikan bahawa harga makanan itu berpatutan serta merupakan harga yang telah ditentukan oleh pihak kerajaan di pasaran. Pengguna yang menganut agama Islam wajib memastikan produk yang hendak dibeli berstatus halal. Sekiranya mendapati bahawa bahan makanan itu tidak memenuhi syarat yang disebutkan tadi, pengguna bestari haruslah membuat  aduan kepada pihak berkuasa supaya membendung isu ini daripada terus menular dalam kalangan masyarakat. Pihak berkuasa perlu lebih berusaha dalam menjaga keperluan pengguna Muslim khasnya dalam menggunakan status halal. Jelas ternyata, pengguna perlu bertindak bijak dengan mengetahui secara mendalam tentang sesuatu produk yang hendak dibeli. Harus diingat, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

          Hakikatnya pada hari ini, dengan meningkatnya taraf hidup di bandar,  proses urbanisasi ini merupakan akar umbi kepada scenario kenaikan harga yang semakin menjadi-jadi sejak belakangan ini. Fenomena ini telah menjadi topik perbualan setiap pengguna mahupun di corong-corong radio, kaca-kaca televisyen ataupun dada-dada akhbar. Walaupun terdapat sesetengah pihak yang mengambil tindakan terhadap isu ini, namun usaha yang dipertunjukkan langsung tidak meninggalkan impak yang berkesan kerana usaha hanya dilaksanakan secara ‘ hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.  Jadi, para pengguna sendiri boleh mengorak langkah dengan menubuhkan Persatuan Pengguna. Misalnya, melalui penubuhan tersebut, ahli-ahli persatuan boleh mengadakan bengkel serta kempen yang berunsurkan kepenggunaan. Prakarsa utama bengkel dan kempen adalah untuk mendidik marhaen mengenai hak mereka sebagai seorang pengguna supaya tidak ditindas oleh pengusaha, pengilang atau penjual yang ‘mencekik darah’ dan mengaibkan segenap strata masyarakat dengan menaikkan harga barangan tetapi disebaliknya menurunkan kualiti produk semata-matanya demi mengaut keuntungan. Dukacitanya, sesetengah masyarakat kurang berminat dalam menghadiri bengkel dan kempen yang dilancarkan oleh Persatuan Pengguna.  Janganlah kita menjadi katak di bawah tempurung selama-lamanya dan membenarkan pengusaha dan pengilang mengambil kesempatan terhadap kita. Martabatlah diri kita sebagai pengguna bestari dengan menyokong program-program yang diadakan demi kebaikan semua. Tegasnya, tidak dapat dinafikan bahawa Persatuan Pengguna wajib diwujudkan untuk menjaga kepentingan pengguna di tanah tercinta ini.


         Selain daripada menubuhkan persatuan pengguna, masyarakat heterogen perlu berjimat cermat apabila menghadapi kelonjakan harga barangan pasaran. Kita haruslah bertindak dengan bijak supaya pihak pengusaha yang bersifat bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak akan terus ‘beraja di mata, bersultan di hati’. Pelbagai pandangan diluahkan, beraneka saranan diutarakan dengan satu matlamat iaitu, masalah yang kian meruncing ini dapat diperbetul agar tidak terus membelenggui kalangan pengguna.  Pada hemat saya, modus operandi yang paling berkesan adalah dengan membeli-belah berdasarkan senarai barang telah ditentukan terlebih dahulu bagi mengelakkan pembaziran dan pemborosan. Seterusnya, kita sebagai pengguna yang bijak bestari wajar membandingkan harga barangan di berlainan kedai atau kilang. Dengan itu, kita bukan sahaja dapat mengetahui peningkatan atau penurunan harga barang pasaran di samping itu turut dapat memilih produk yang murah dan pada masa yang sama berkualiti tinggi.  Keadaan serampang dua mata ini semestinya dapat membantu pengguna yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Namun, jikalau masyarakat mancabangsa masih bersikap boros dalam perbelanjaan, siapakah lagi yang akan memperolehi faedah kalau bukan pihak pengusaha yang meningkatkan harga barang sesuka hati itu sendiri? Janganlah kita melupai pedoman orang tua-tua yang berbunyi ‘ ingat sebelum kena, jimat sebelum habis’. Sesungguhnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kita sebagai pengguna yang bijak bestari, seyogianya berjimat cermat dalam menangani isu kelonjakan harga barang.


         Jika ditinjau daripada satu lagi perspektif, kita perlulah bertindak dengan ‘kuasa pembeli’ dalam menyelesaikan kemelut ini. Sebagaimana kita sedia dimaklum, kuasa pembeli ialah  kemampuan pengguna untuk memperolehi barangan dan perkhidmatan dengan pendapatan boleh gunanya. Pengguna yang bijak akan dapat membelanjakan wang dengan baik, dengan syarat mendapatkan pulangan yang memuaskan bagi setiap nilai wang yang dibelanjakan pada harga yang tertentu. Apabila kita sudah mahir dalam merancang perbelanjaan, sudah tentu kita tidak akan berbelanja mengikut hawa nafsu kerana ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut suka duka’. Menurut sesetengah pakar ekonomi, ‘kuasa pembeli ‘ dalam kalangan pengguna dapat diperkukuh andaikan pihak berkuasa mengadakan reformasi pasaran agar ia menjadi lebih berdaya saing dan juga bebas daripada monopoli yang bersifat ‘herot-berot’. Satu tindakan yang boleh menunjukkan kuasa beli kita adalah dengan memboikot sesuatu barang berkenaan.  Strategi ini akhirnya akan membawa implikasi negatif dari segi kewangan kepada syarikat pembuat barangan berkenaan dan ini akan member kesedaran kepada mereka tentang ‘kuasa pembeli’. Rentetan itu, pengguna  tidak patut ditipu oleh kecantikan luaran sesuatu produk yang dipasarkan, manalah tahu di luar bagai madu, di dalam bagai hempedu.  Justifikasinya,  bertindak dengan ‘ kuasa pembeli’ sememangnya merupakan tanggungjawab hakiki setiap pengguna.


               Salah satu lagi peranan pengguna adalah membantu kerajaan dalam memantau pergerakan harga-harga pasaran.  Keprihatinan serta kesedaran terhadap fenomena kenaikan harga haruslah wujud dalam diri setiap pengguna. Tamsilnya, kita perlu sentiasa peka terhadap isu-isu semasa tentang pergerakan harga-harga di pasaran.  Pemantauan dan usaha istiqamah perlu diperhebat lagi untuk menghadapi apa-apa jua krisis bersangkutan yang berkemungkinan akan timbul pada masa yang akan datang. Baik dan buruk tidak dapat diramalkan, jadi apakah salahnya sediakan payung sebelum hujan? Dalam kata-kata yang lain, kita merupakan agen pemerhati harga barangan di pasaran yang meringankan beban pihak kerajaan.  Dalam proses pemantauan ini, kita perlu banyak mengakses Internet untuk mencari maklumat terkini tentang kenaikan mahupun penurunan harga di pasaran, di samping itu kita juga kena sentiasa mendapatkan informasi dan pendapat daripada pengguna-pengguna yang lain terhadap perubahan harga barangan yang telah berlaku.  Komitmen dan sinergi yang bersepadu lagi ampuh amat diperlukan dalam proses pemantauan tersebut bak kata peribahasa, ‘ bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’.  Bertitik tolak dari sini, memang tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa kita berperanan untuk membantu pihak kerajaan dalam memantau pergerakan harga-harga pasaran supaya para pengguna tidak akan terjerumus dalam isu yang menjadi permasalahan global kini.

No comments:

Post a Comment