Saturday, 7 February 2015

Kumpulan 4

                                  CARA-CARA MENJADI PENGGUNA YANG BIJAK

        Pengguna merupakan individu yang berperanan penting dalam mengawal proses kenaikan atau penurunan harga barangan di pasaran.Mereka sepatutnya mampu melontarkan suara dan pendapat untuk mendapatkan keadilan sebagai seorang pengguna.Menjelang musim perayaan,harga barangan keperluan meningkat dengan lonjakan yang dahsyat.Senario begini berlaku atas dasar perangai dan sikap peniaga yang mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mencekik darah para pengguna hanya untuk mendapat keuntungan yang berlipat ganda setiap kali musim perayaan menjelma.Walau bagaimanapun,pengguna boleh menggunakan media massa sama ada media cetak ataupun media elektronik untuk meluahkan perasaaan mereka setiap kali peniaga didapati menaikkan harga barangan sesuka hati.Melalui usaha tersebut peniaga akan sedar dan mengambil inisiatif untuk mengurangkan harga barangan di pasaran.Pengguna perlu memastikan bahawa pihak berkuasa,terutamanya Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna peka,mendengar rintihan, dan mengambil tindakan yang sewarjarnya kepada  para pengguna apabila berlakunya isu kenaikan harga barangan kawalan seperti gula dan minyak masak.Kenaikan harga barangan utama ini sering menimbulkan keluh kesah dan membebankan pengguna.Berlanjutan degan kemelut tersebut,pengguna perlu bersatu umpama lidi yang menjadi penyapu jika disatukan agar impaknya dapat dicapai.Tuntasnya,pengguna haruslah berani menyatakan pendapat mereka tentang sesuatu fenomena agar penipuan dapat dielakkan.
         
        Kita sememangnya tidak dapat menyangkal bahawa berjimat cermat semasa berbelanja merupakan strategi efektif untuk menjadi pengguna yang bijak. Pengguna patut merancang perbelanjaan dengan menyenaraikan barangan yang hendak dibeli serta yang diperlukan sahaja.Hal ini secara tidak langsung akan membantu pengguna mengelakkan sikap boros serta membeli barangan yang tidak diperlukan,terutamanya semasa pengusaha pasar raya mengadakan jualan promosi yang lumayan.Ini juga bertepatan dengan peribahasa hemat pangkal kaya,sia-sia hutang tambah kerana berjimat mendatangkan kesenangan tetapi boros dan membazir hanya mendatangkan kesusahan.Bukan ini sahaja,pengguna turut harus membuat perbandingan harga sebelum membeli sesuatu barangan atau produk.Pengguna zaman ini sangat bertuah kerana terdapat banyak gedung beli belah yang didirikan seperti Giant,Jusco,Carrefour dan sebagainya.Dengan ini pengguna boleh menyelidik dan membuat kajian tentang harga barangan yang ditawarkan di setiap pasar raya tersebut.Tamsilnya,seandainya Kedai A menjual roti berharga tiga ringgit sebaliknya Kedai B menjual roti yang sama dengan harga dua ringgit setengah jauh lebih murah daripada Kedai A.Sudah terang lagi besuluh,berbelanja di Kedai B akan lebih menjimatkan.Selain hemat berbelanja di luar,pengguna juga harus bijak semasa menggunakan elektrik dan air di rumah.Janganlah senantiasa membazir elektrik dan air sesuka hati kerana membazir merupakan amalan syaitan malah pengguna sendiri yang harus menanggung bil-bil yang mahal tersebut.Jadi,jelaslah bahawa menanam sikap berjimat cermat dapat melahirkan pengguna yang bijak bestari.
           
            Kajian yang sahih lagi tepat menyatakan bahawa untuk menjadi pengguna yang bijak,pengguna hendaklah mempelajari ilmu kepenggunaan tidak kira usia,bangsa,dan status.Peribahasa,di mana ada kemahuan,di situ ada jalan penyelesaiannya sangat bersesuaian dengan sikap pengguna yang ada inisiatif untuk menimba ilmu pengetahuan khususnya ilmu kepenggunaan.Program Kesedaran Kepenggunaan akan memberikan kesedaran yang efektif kepada pengguna untuk menjadi pengguna yang lebih bijak apabila mengendalikan isu-isu kepenggunaan.Oleh itu, pengguna akan lebih teliti apabila hendak membeli sesuatu barangan dan tidak bersikap bagai lembu dicucuk hidung dengan hanya membeli barang tanpa pemeriksaan sama ada barangan tersebut berkualiti ataupun tidak. Dengan adanya ilmu kepenggunaan,maka pengguna boleh menyampaikan maklumat yang diperoleh kepada orang lain dan bukannya bersikap bagai enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing agar manfaatnya dapat dikongsi bersama.Seandainya,ilmu dalam diri seseorang itu cetek tentang ilmu kepenggunaan,pengguna boleh mendapatkan nasihat daripada pihak kaunseling untuk meningkatkan ilmu kepenggunaan mereka agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat ketika membeli sesuatu produk.Pengguna tidak seharusnya bersikap bagai katak di bawah tempurung,malah berusaha untuk menimba ilmu kepenggunaan agar pengguna tidak akan rugi.Pengguna yang arif dalam sesuatu bidang khususnya bidang kepenggunaan,maka mereka dapat menguruskan sesuatu situasi berkenaan dengan bijak seperti kata tokoh Hajji Bektasy Wali,”orang bijaksana berfikir dua kali sebelum berbicara sekali”.Tegasnya mempelajari ilmu kepenggunaan merupakan langkah menjadi pengguna yang bijak.
             
        Pada zaman teknologi yang serba canggih ini,terdapat seribu satu jenis perkhidmatan dalam kehidupan seharian kita seperti perkhidmatan penerbangan,perbankan,internet,dan sebagainya.Oleh itu,pengguna sewajarnya memilih perkhidmatan yang terbaik untuk menjadi pengguna yang bijak.Pemilihan perkhidmatan ini mesti dilakukan dengan cekap dan tepat supaya pemilihan yang dipilih berbaloi.Untuk memastikan perkhidmatan yang dipilih berbaloi,pengguna perlu pandai menilai kebaikan dan kelemahan sesuatu perkhidmatan.Selanjutnya,pengguna juga harus memilih sesuatu perkhidmatan mengikut kualitinya serta memastikan harga yang ditawarkan berpatutan.Memang ramai pengguna pasti akan memilih perkhidmatan yang kosnya murah tetapi berbaloikah perkhidmatan tersebut?Ada sesetengah agensi yang memberikan perkhidmatan yang murah tetapi layanan yang diberikan amat teruk dan sebaliknya.Tamsilnya,agensi penerbangan yang menawarkan harga tiket yang murah tetapi tempat duduk yang disediakan sempit dan tidak selesa dan sebaliknya terdapat agensi penerbangan yang menawarkan harga yang mahal dan menyediakan tempat duduk yang selesa.Jadi pengguna harus bijak dalam membuat pilihan,bak kata peribahasa,sesal dulu pendapatan,sesal kemudian tiada berguna, sama ada untuk memilih perkhidmatan yang murah ataupun yang mahal apabila kedua-kedua pilihan tersebut ada kelemahan dan kebaikannya yang tersendiri.Adakah pengguna sanggup duduk dalam keadaan sempit?Ataupun adakah pengguna sanggup membayar lebih untuk mendapatkan keselesaan?Fenomena ini terletak dalam tangan pengguna itu sendiri.Oleh itu,memilih perkhidmatan yang terbaik merupakan seribu daripada satu cara untuk menjadi pengguna yang bijak.


         
         Para cendekiawan berpendapat bahawa formula untuk menjadi pengguna yang bijak termasuklah memilih barangan yang berkualiti.Ketika membeli sesuatu produk,seseorang pengguna perlu memperoleh maklumat yang terperinci tentang produk tersebut dan mengkaji kandungannya.Sebagai contoh,jika penggguna ingin membeli produk makanan,mereka haruslah melihat ramuan yang digunakan terutamanya masyarakat yang beragama Islam yang mesti memastikan bahawa produk makanan tersebut berstatus halal.Mereka juga harus melihat ramuan tersebut yang mungkin terdapat  bahan yang boleh memudaratkan kesihatan seperti kandungan gula dan garam yang melebihi had tertentu.Pengguna juga harus melihat tarikh luput yang terpapar di produk tersebut dan mereka tidak seharusya membeli barangan yang lama atau melebihi tarikh luput kerana barang tersebut tidak selamat dan boleh memudaratkan pengguna.Seterusnya,pengguna patut membeli barangan yang menepati contoh yang diiklankan.Misalnya,jika pengguna ingin membeli barangan elektrik,barangan yang disahihkan oleh Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa(SIRIM)seharusnya menjadi pilihan utama pengguna kerana sudah pasti barangan tersebut boleh tahan lama dan berbaloi.Selain itu,jika pengguna ingin membeli mesin pencuci baju,pengguna harus ada jaminan untuk menukarkannya semula dalam tempoh masa tertentu jika terdapat kerosakan yang berlaku.Pengguna juga dinasihatkan untuk membeli barangan yang berjenama, bak kata peribahasa,alah membeli,menang memakai, kerana barangan tersebut boleh menahan lama walaupun harganya lebih mahal .Tegasnya,memilih barangan yang berkualiti merupakan langkah menjadi pengguna yang bijak.

No comments:

Post a Comment