Sunday, 8 February 2015

CARA-CARA MENJADI PENGGUNA YANG BIJAK [ KUMPULAN 2 ]

Selain itu, strategi menjadi pengguna yang bijak termasuklah melakukan pembelian semasa penjualan murah. Pelbagai promosi akan diadakan bagai cendawan tumbuh selepas hujan oleh pelbagai pengusaha atau pembekal syarikat terutamanya pada musim perayaan. Hal ini demikian kerana mereka ingin menggunakan cara merendahkan harga barang untuk menarik minat orang ramai untuk berbelanja dan hal ini berlaku kerana mereka percaya akan peribahasa ada gula ada semut. Contoh-contoh promosi yang telah diadakan oleh pengusaha tempatan termasuklah program OngMali yang sedang dilancarkan oleh Tesco pada Tahun Baru Cina tahun 2015. Oleh itu, orang ramai perlu mengambil peluang yang emas itu untuk membeli barang keperluan hidup supaya dapat menjimatkan duit. Intihanya, membeli barang keperluan pada masa penjualan murah merupakan salah satu dari seribu satu cara untuk menjadi seorang pengguna yang berhemah.
Prakarsa untuk menjadi pengguna yang bijak adalah membeli barang secara pukal. Antara barang yang boleh dibeli secara pukal ialah beras, susu, biskut, teh, barang masakan seperti minyak masak, bawang besar, tepung gandum dan sebagainya. Barang-barang ini akan lebih tahan lama berbanding barang seperti roti, ikan, sayur dan lain-lain. Pengguna boleh membeli barang ini di pasar raya besar kerana terdapat pelbagai barangan yang dijual secara pukal. Tegasnya, pengguna yang membeli barang secara pukal bukan sahaja dapat menjimatkan wang malah menjimatkan masa dan tenaga.
Antara prakarsa yang lebih efektif, amalan berjimat cermat dalam kalangan masyarakat dapat melahirkan pengguna yang bijak kerana dapat mengelakkan pembaziran dalam membelanjakan wang. Dalam hal ini, seorang pengguna yang bijak akan lebih berwaspada dan lebih peka ketika membeli barang. Bahkan juga, seorang pengguna yang bijak juga akan membeli barangan keperluan kehidupan seharian sahaja dan tidak membazirkan wang dengan membeli barang yang tidak memberi apa-apa faedah. Tamsilnya, ketika membeli atau memilih barang yang hendak dibeli, kita perlu mengetahui isi kandungan dan sumber barang tersebut sebelum membelinya. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Masyarakat juga dapat hidup dengan lebih kondusif. Tegasnya, sebagai pengguna yang bijak kita haruslah pandai berjimat-cermat seperti peribahasa ini, “sesat dahulu pendapatan, sesat kemudian tidak berguna”.
Selain itu, kita sebagai pengguna yang bijak juga berhak untuk memberi pandangan. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi, nilai kebebasan bersuara di kalangan rakyat amatlah sinonim dengan pemerintahan yang ada. Dalam konsep kepenggunaan pula, hak menyuarakan pendapat bermaksud hak untuk menyuarakan pendapat sama ada secara individu atau melalui perwakilan. Dengan hak tersebut pengguna dapat menyalurkan idea, komen atau menentukan dasar-dasar kerajaan dan pihak-pihak lain yang terlibat dalam penyediaan barang dan perkhidmatan kepada pengguna. Di pentas dunia, hak menyuarakan pendapat adalah lebih berkesan jika disalurkan melalui persatuan secara kolektif. Dibwah label mana-mana persatuan yang telah diiktiraf, pengguna boleh melantik perwakilan di kalangan mereka untuk menyuarakan sesuatu berkaitan dengan kepentingan kepenggunaan. Selagi ada pengguna, selagi itu isu akan lahir daripada pengguna sendiri sama ada komen, pujian, galakan, bantahan terhadap pihak lain yang berkaitan. Oleh itu, wajarlah pengguna mengiktiraf dan menggunakan hak bersuara mereka.


Pencarian maklumat tentang suatu produk juga merupakan salah satu formula untuk menjadi pengguna yang bijak. Pada era globalisasi ini, terdapat pelbagai bahan asing yang boleh terkandung dalam produk yang dipasarkan. Ramuan produk tersebut terhadap kesihatan tidak boleh ditentukan tanpa maklumat yang mencukupi, dan justeru keselamatan produk tersebut tidak dapat dikenal pasti dengan hanya melihat luarannya sahaja. Kita perlu prihatin dan rajin mengkaji senarai ramuan dan ruang pemakanan untuk memastikan bahawa produk tersebut selamat untuk digunakan. Ulasan produk juga perlu dicari untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang suatu produk. Pada era moden ini, ramai pengguna memberi ulasan tentang suatu produk di blog mereka. Hanya dengan satu klik, ulasan-ulasan daripada pengguna lain akan terpapar di skrin komputer. Melalui ulasan-ulasan tersebut, kita akan lebih jamin bahawa produk itu selamat untuk digunakan. 

No comments:

Post a Comment