FAKTOR MASYARAKAT MEMILIH TINGGAL DI INAP DESA
Tanah air yang tercinta kerap dikunjungi pelancong yang terdiri dari dalam negara mahupun luar negara setiap tahun. Sektor pelancongan merupakan salah satu punca kemajuan ekonomi di Malaysia. Oleh itu, pihak kerajaan telah mengetengahkan sektor ini kepada para usahawan. Orang bijak pandai banyak mengambil peluang ini untuk melibatkan diri dalam perniagaan inap desa, perhotelan, chalet mahupun resort. Namun, masyarakat memilih tinggal di inap desa ketika melancong. Persoalannya, apakah faktor mereka memilih perginapan inap desa?
Golongan cendekiawan berpendapat bahawa punca masyarakat memilih untuk tinggal di inap desa ketika melancong adalah kerana mereka dapat memperoleh pengalaman baharu. Pada zaman materealistik ini, pelancong tidak lagi berminat untuk tinggal di hotel atau resort semasa melancong ke suatu tempat, sebaliknya mereka lebih berminat tinggal di inap desa kerana suasana kampung yang sama. Di sana, pelancong dapat menikmati suasana kehidupan yang sebenar di kawasan perkampungan. Mereka juga melancong ke inap desa untuk mengetahui budaya, cara hidup orang kampung serta budaya kesenian dan makanan tradisional. Dengan ini, pelancong memperoleh pengalaman yang baharu dan mereka lebih meminati tinggal di inap desa.
Selain itu, kita sememangnya tidak dapat menafikan hakikat bahawa inap desa lebih murah berbanding hotel, chalet dan sebagainya. Walaupun begitu, kualiti pelayanan, kebersihan dan perkhidmatan yang ditunjukkan di inap desa adalah setanding dengan di tempat lain. Tambahan pula, inap desa juga menjanjikan kedamaian jiwa berbanding kehidupan sibuk di bandar. Jadi jelaslah masyarakat memilih untuk tinggal di inap desa ketika melancong.
Lokasi strategik inap desa yang terletak di kawasan luar bandar menyediakan suasana yang tenang dan damai serta jauh dari kesibukan serta kesesakan bandar di samping mempunyai masyarakat yang hidup bersatu padu dan masih mengamalkan budaya masyarakat tempatan. Lokasi seperti ini menarik pelancong terutamanya dari kalangan mereka yang ingin merasai pengalaman tinggal bersama komuniti baru yang mengamalkan budaya hidup yang berbeza daripada apa yang mereka amalkan. Kebiasaannya lokasi inap desa yang terletak berhampiran dengan tarikan pelancongan untuk memastikan pelancong dapat menjalankan rutin harian bersama tuan rumah dan penduduk tempatan.
Sebagai intiharnya, usaha kerajaan dalam mempergiatkan pembangunan inap desa dalam kalangan usahawan telah menjadikan penginapan inap desa pilihan masyarakat Malaysia ketika melancong. Pelbagai pihak haruslah mencari jalan serta berganding bahu bagai aur dengan tebing untuk mengekalkan industri inap desa agar tanah air yang tercinta terus maju menjelang tahun 2020.
No comments:
Post a Comment