Saturday, 17 January 2015

Kesan Pembalakan Haram (Kumpulan 5,Ketua:Noah)


KESAN-KESAN PEMBALAKAN HARAM


Hutan merupakan khazanah dunia yang amat bernilai. Hutan telah membekalkan negara kita dengan pelbagai sumber seperti kayu-kayan dan ubat-ubatan.  Malaysia juga terkenal dengan keindahan alam semula jadinya yang sentiasa menjadi daya penarik kepada pelancong-pelancong asing. Walaupun hutan telah membantu negara mempelbagaikan sumber ekonominya, namun akhir-akhir ini , hutan menghadapi ancaman kemusnahan daripada pihak-pihak yang tamak dan hanya mementingkan kekayaan semata-mata. Tidak dapat dinafikan bahawa bilangan pokok di dunia semakin berkurangan pada zaman globalisasi ini. Malah, Amerika Syarikat telah secara rasminya mengumumkan bahawa pemanasan global di dunia berasa dalam keadaan kritikal. Terdapat banyak komuniti yang sedang mencuba untuk memulih bumi ke arah yang stabil seperti komuniti ‘World Wide Federation’ (WWF).  Jika tidak kerana angin , tidak akan pokok bergoyang . Akar masalah tersebut dapat dikaitkan dengan kekurangan bilangan pokok di dunia.


Antara kesan pembalakan haram termasuklah kekurangan bekalan air di dunia. Hutan bertindak seperti span di kawasan tadahan hujan. Aktiviti manusia menebang pokok-pokok akan menjejaskan kawasan tadahan hujan di tanah tinggi. Hal ini akan mengurangkan kadar serapan dan penyimpanan air dalam tanih sekaligus menjejaskan bekalan air. Keadaan ini mendatangkan kebejatan kepada penduduk sekitar. Sebagai contohnya krisis air yang pernah berlaku di Lembah Klang dan Melaka menyebabkan aktiviti harian penduduk seperti memasak , mandi dan membasuh pakaian terganggu. Oleh itu,kita seharusnya sedar akan kepentingan hutan dalam kehidupan kita.Sikap bagaikan enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing hanya akan memberi kemudaratan kepada kita.


Selain itu, kemusanahan flora dan fauna juga merupakan salah satu daripada kesan pembalakan haram. Umum mengetahui bahawa hutan merupakan habitat semula jadi bagi spesies flora dan fauna yang semakin pupus. Kesan ini akan menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar kehilangan tempat tinggal. Tamsilnya, banyak kawasan hutan yang dimusnahkan kerana pembangunan atau aktiviti pembalakan haram. Tanpa tempat tinggal yang selamat , segala spesies flora dan fauna ini akan mati dan seterusnya pupus. Dengan ini , generasi yang akan datang tidak dapat menikmati keindahan flora dan fauna . Tegasnya, masyarakat serta kerajaan haruslah berganding bahu bagai aur dengan tebing bagi memulih kembali kehijauan dunia dengan menggunakan strategi memulihara dan memelihara hutan .


Seterusnya , pembalakan haram juga akan menyebabkan suhu dunia meningkat. Kekurangan hutan akan menyebabkan peningkatan suhu menyumbang ke pemanasan global . Jika perkara ini berterusan , perubahan cuaca akan berlaku dan mengakibatkan pencairan ais di Kutub Utara dan Kutub Selatan. Bukan itu sahaja, malah perkara ini juga akan menyebabkan kejadian bencana alam meningkat. Dengan situasi yang tidak terkawal ini , kadar kematian haiwan dan manusia akan meningkat  dan populasi dunia pula akan menurun dengan mendadak. Sumber makanan pula akan berkurangan akibat bilangan pokok hijau yang semakin sedikit di dunia. Oleh yang demikian , kita perlulah menghargai anugerah ciptaan Tuhan yang tidak ternilai harganya ini. Mampukah kita hidup selesa dalam keadaan yang panas dan kelaparan sebegini? Tepuk dada , tanya selera.

Tuntasnya, pembalakan haram mendatang pelbagai kesan buruk kepada masyarakat dan kehidupan semula jadi. Justeru , tindakan yang sewajarnya harus diambil sebelum nasi menjadi bubur,  supaya keadaan tidak akan melarat ke arah yang lebih teruk. Pemastian , cukupnya jumlah pokok dan kayu balak perlu ditekankan oleh masyarakat supaya generasi yang akan datang dapat menikmati keindahan dunia yang sama seperti ditinggalkan oleh nenek moyang  kita.  Kita haruslah berkolaborasi bagi membendung kegiatan ini daripada terus meragut keindahan alam ciptaan ilahi. Seperkara lagi , kita perlulah ingat bahawa kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek moyang kita , tetapi kita hanya meminjamnya daripada anak cucu kita.

No comments:

Post a Comment