Friday, 16 January 2015

USAHA MEWUJUDKAN PERPADUAN KAUM ( KUMPULAN 2 )

Sejak belakangan ini, perpaduan kaum kurang dilihat dalam sesebuah masyarakat. Generasi ini semakin terpaut dengan pengaruh Internet. Dengan itu, generasi muda menjadi lebih individualistic bagi enau dalam belukar melepaskan pucuk sendiri tanpa mengambil tahu tentang persekitaran sekeliling dan berangan-angan dalam dunia sendiri. Bagi mengelakkan kelunturan semangat perpaduan kaum, terdapat beberapa formula untuk mengelakkan pengulangan sejarah hitam 13 Mei 1969.

Salah satu inisiatif mewujudkan perpaduan kaum adalah melalui peranan sekolah. Pihak sekolah bertanggungjawab untuk mencipta peluang agar pelajar yang berlainan kaum mampu mengeratkan persahabatan seperti dakwat dengan kertas. Pihak sekolah boleh mencipta peluang dengan mewujudkan aktiviti yang melibatkan semua pelajar, misalnya kokurikulum. Ketika aktiviti kokurikulum, pelajar akan terlibat dalam unit beruniform, kelab dan persatuan di mana semua pelajar dilayan sama rata tidak mengira status atau bangsa. Pelajar akan secara tidak langsung bekerjasama dalam satu pasukan bagai aur dengan tebing. Mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan pasukan pendidik perlu mengajarnya secara proaktif kerana melalui mata pelajaran ini, pelajar mampu mempelajari hormat-menghormati antara satu sama lain. Tegasnya, pihak sekolah memainkan peranan yang amat besar dalam menciptakan perpaduan kaum.

Selain itu, strategi mewujudkan perpaduan kaum adalah dengan menganjurkan aktiviti Hari Keluarga. Komuniti dalam sesebuah kawasan perumahan, organisasi kerajaan ataupun organisasi swasta perlu sering menganjurkan aktiviti Hari Keluarga untuk merapatkan hubungan antara pelbagai kaum. Sepanjang Hari Keluarga ini diadakan, keluarga berlainan bangsa dapat menjalankan aktiviti seperti cabutan bertuah, permainan sukaneka dan permainan tradisional. Melalui aktiviti tersebut, anggota kawasan perumahan dapat mengetahui dan menghayati budaya bangsa lain seperti serampang dua mata. Intihanya, orang ramai perlu melibatkan diri dalam aktiviti Hari Keluarga secara aktif supaya perpaduan kaum dikekalkan kerana tepuk sebelah tangan tidak berbunyi.

Seterusnya, amalan mengunjungi rumah terbuka juga merupakan salah satu usaha masyarakat untuk mewujudkan perpaduan kaum. Di kawasan kampung, apabila seseorang jiran akan mengadakan sesebuah majlis, contohnya, majlis perkahwinan, ataupun rumah terbuka, seluruh kampung akan datang bantu tuan rumah kerana pemikiran berat sama dipikul, ringan sama dijinjing tertanam dalam diri orang kampung. Di bandar, dengan menjemput jiran ke rumah terbuka akan membuka peluang untuk kaum-kaum lain mempelajari dengan lebih mendalam tentang suatu budaya melalui juadah yang dihidangkan. Bukan sahaja dapat mendalami ilmu, malah dengan mengunjungi rumah terbuka dapat mengeratkan silaturahim antara jiran yang berlainan kaum. Perpaduan kaum akan disemai secara tidak langsung dalam masyarakat melalui cara ini kerana apabila hati hendak semua jadi. Oleh itu, rumah terbuka yang diadakan mampu memupuk perpaduan kaum dalam anggota masyarakat.


Konklusinya, terdapat seribu satu modus operandi bagi mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Malaysia. Rakyat berlainan bangsa mampu mengekalkan suasana yang aman dan sejahtera jika semangat perpaduan kaum tidak dibiarkan begitu sahaja. Oleh itu, semua pihak haruslah bersinergi dalam meneruskan semangat perpaduan ini bagi melahirkan generasi yang mempunyai sifat nasionalisme yang kukuh kerana generasi muda pada masa ini merupakan pemimpin negara pada masa hadapan. 

1 comment: