Bidang
sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita. Hal ini demikian
kerana aktiviti sukan mendatangkan faedah yang banyak kepada masyarakat dan
negara kita. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang sukan perlulah
memainkan peranan yang berkesan dengan kerjasama semua pihak seperti ibu bapa.
Sekiranya ibu bapa memberikan galakan dan sokongan moral, sudah pasti matlamat
untuk memajukan bidang sukan di negara kita akan tercapai iaitu seperti
peribahasa Melayu, di mana ada kemahuan, di situ pasti ada
jalan.
Dengan cara itu, nama negara kita akan dikenali dan digeruni di peringkat
antarabangsa melalui kejayaan atlet negara dalam bidang sukan.
Antara peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa adalah dengan memberikan
galakan dengan cara membelikan anak-anak mereka peralatan sukan. Sekiranya
anak-anak memiliki peralatan sukan yang lengkap dan sesuai sudah pastilah
mereka lebih bersemangat untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah
membelikan anak-anak mereka pakaian, kasut dan alat-alat yang berkaitan dengan
permainan yang diceburi oleh anak-anak mereka seperti raket badminton, squash
dan tenis. Oleh hal yang demikian, minat anak-anak dapat dikembangkan sekiranya
peralatan yang sesuai dimiliki oleh mereka. Seterusnya, mereka diharapkan dapat
melakar kemenangan dan seterusnya mengharumkan nama sekolah, daerah, negeri dan
negara.
Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak untuk menceburkan diri dalam bidang
sukan dengan aktif. Ibu bapa boleh menasihati anak-anak supaya memperuntukkan
masa mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan dan permainan. Hal ini
demikian kerana, aktiviti sukan akan menyihatkan dan mencergaskan badan. Di
samping itu, anak-anak yang berbakat dan berminat dalam sukan dan permainan
tertentu bolehlah melibatkan diri dengan lebih aktif untuk mencipta kejayaan
yang cemerlang. Bakat dan minat tersebut perlulah dipupuk dari bangku sekolah
lagi untuk dikembangkan agar dapat mengharumkan nama negara di persada dunia.
Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan sokongan moral dengan menghantar
anak-anak mereka ke tempat latihan atau permainan tersebut dijalankan. Dengan
cara itu, anak-anak mereka lebih bersemangat untuk bergiat aktif dalam bidang
sukan tersebut. Mereka juga boleh menemani anak-anak dan menyaksikan
anak-anak mereka berlatih atau bertanding dalam sesuatu acara sukan atau
permainan. Sudah tentulah perkara ini akan memberikan kesan yang lebih mendalam
kepada anak-anak dalam usaha untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu permainan iaitu,
tinggi gunung, tinggi lagi harapan kami. Seterusnya, mereka akan berasa lebih yakin untuk
mencipta kemenangan pada peringkat yang lebih tinggi lagi.
Ibu bapa perlulah membelikan anak-anak mereka majalah sukan yang diminati oleh
mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan
diri dalam bidang sukan dengan serius. Mereka juga akan mendapat maklumat atau
perkembangan terkini dalam bidang sukan menerusi majalah-majalah sukan
tersebut. Selain itu, kejayaan ahli-ahli sukan antarabangsa yang dipaparkan
dalam majalah sukan tersebut akan menjadi idola dan pencetus semangat serta
motivasi kepada anak-anak untuk menjadi ahli sukan yang berjaya.
Secara keseluruhannya, peranan ibu bapa tidak boleh diketepikan dalam usaha
untuk menggalakkan anak-anak bersukan. Oleh itu, ibu bapa perlulah diberikan
kesedaran supaya memainkan peranan yang sepatutnya dalam usaha untuk melahirkan
lebih banyak ahli sukan di negara kita. Ibu bapa tidak seharusnya mementingkan
aspek kecemerlangan akademik semata-mata dan mengetepikan kepentingan sukan
kepada anak-anak mereka. Kita mahu agar kecemerlangan akademik dan
kecemerlangan sukan bergerak seiring sekiranya mahu negara kita maju dalam
bidang sukan. Perkara ini akan menjadi realiti jika pepatah, "genggam bara api biar sampai jadi arang" sentiasa menjadi amalan dalam diri setiap orang
yang ingin akan kejayaan.
No comments:
Post a Comment