Monday, 14 April 2014

PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA (KUMPULAN:DZARIFF)
SINOPSIS
                Kisah bermula apabila Awang Sulung mengikuti pelayaran Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan menaiki geliung (kapal) menuju dari Negeri Bandar Mengkalih menuju ke Negeri Semarang di Tanah Jawa. Geliung itu bergerak terlalu laju menyebabkan semua anak kapal mabuk-mabuk dan muntah-muntah lalu tidak sedarkan diri kecuali tiga orang iaitu Tuan Puteri Dayang Seri Jawa yang menggantikan jurumudi kapal, Si Kembang Cina, dan Awang Sulung Merah Muda yang menyamar sebagai budak comot dan hitam. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Si Kembang Cina memanggil Awang Sulung menggantikannya sebagai jurumudi  dengan memberi alasan bahawa  dia sudah keletihan. Pada mulanya Awang Sulung tidak bersetuju tetapi setelah dipujuk dengan lembut akhirnya Awang Sulung mengambil alih tugas sebagai jurumudi. Anehnya, Awang Sulung tidak memegang kemudi sebaliknya menyeru geliung itu supaya belayar mengikut tiupan angin.
                  Setelah tiga hari belayar, geliung itu hendak  berlabuh di Pulau Tapai untuk mengambil kayu api dan air tetapi gagal kerana laut bergelora. Sekali lagi Awang Sulung menggunakan kesaktiannya dengan mencampakkan tulang pelanduk putih dan ini menyebabkan air menjadi tenang. Setelah beberapa lama berlabuh barulah penghuni geliung tersedar daripada pengsan. Sebaik sedar, jurumudi menikam seekor ayam dengan kerisnya lalu pergi berjumpa Tuanku Nakhoda Tua dan menyatakan bahawa dialah yang telah menyelamatkan geliung itu daripada serangan Tuan Puteri Dayang Nuramah. Tuanku Nakhoda Tua percaya kata-kata jurumudi kerana sewaktu kejadian baginda juga pengsan. Geliung itu berlabuh selama tiga hari tiga malam di Pulau Tapai. Tuanku Nakhoda Tua telah berjanji akan mengahwinkan sesiapa sahaja yang berjaya membawa geliung itu selamat sampai ke Tanah Jawa dengan puteri baginda iaituTuan Puteri Dayang Seri Jawa.
                    Jurumudi menunjukkan rasa tidak senangnya terhadap Awang Sulung kepada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sebaliknya dia dimarahi oleh tuan puteri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa cuba menguji kehebatan Awang Sulung dengan menyuruhnya mengambil air dan mencari kayu. Perkara pelik dilakukan oleh Awang Sulung kerana dia mengambil air di tengah laut di tempat arus yang deras. Awang Sulung tidak mengambil kayu bakau dan temu laut seperti yang diminta oleh tuan puteri, sebaliknya mengambil batang nipah. Tuan Puteri Dayang  Seri Jawa memarahi Si Kembang Cina yang mengikut arahan jurumudi kerana memberikan sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung sebaliknya Tuan Puteri memerintahkan Si Kembang Cina menyiapkan hidangan istimewa kepada Awang Sulung. Berlaku satu lagi keanehan apabila air masin yang diambil oleh Awang Sulung yang dimasukkan ke dalam buyung suasa bertukar menjadi air manis.
                     Semasa hendak meneruskan pelayaran, Tuanku Nakhoda Tua memanggil semua anak kapal memaklumkan bahawa mereka akan melalui kawasan Laut Sekona Lingga yang banyak lanun. Tuanku Nakhoda berjanji sesiapa yang dapat menyelamatkan baginda dan puterinya daripada serangan lanun, dia akan dikahwinkan dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Semua anak kapal berasa takut, namun jurumudi telah mengambil kesempatan dengan  menonjolkan diri bahawa dia yang akan melawan lanun-lanun itu. Semasa melintasi perairan Pulau Salah Nama, lanun menyerang. Anak-anak kapal termasuk jurumudi lari menyelamatkan diri. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa meminta Awang Sulung menentang lanun tetapi Awang Sulung membuat helah mengatakan beliau tidak layak kerana kaki dan tangannya sakit. Apabila mendengar alasan itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa menyuruh Si Kembang Cina memberikan limau selimpat pagar dan sabun wangi untuk Awang Sulung mandi. Selepas mandi dan memakai persalinan pakaian pusaka tua warisan bonda dan menyisip keris serta menyarung pedang sakti, terserlahlah ketampanan Awang Sulung.
                 Semasa lanun-lanun cuba menaiki geliung, Awang Sulung melaungkan nama-nama ketua lanun dan menyindir mereka supaya menawan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Mendengar suara Awang Sulung, lanun-lanun itu ketakutan kerana mereka mengenali Awang Sulung dan berjanji untuk menyelesaikan hutang Awang Sulung kepada Datuk Batin Alam dan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. Geliung itu telah dipenuhi dengan  wang batu dan wang emas. Setelah menyelesaikan semua hutang, Awang Sulung berhasrat untuk pulang ke Bandar Mengkalih menyebabkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sedih dan mengambil tindakan untuk terjun ke laut tetapi sempat dihalang oleh hulubalang yang ada di situ. Tuan puteri pengsan tetapi sedar apabila mendengar Awang Sulung berpantun dengan Si Kembang Cina lalu tuan puteri berbalas pantun pula dengan Awang Sulung.  Setelah dijamu makan dan minum serta memenuhkan geliung dengan wang, lanun-lanun itu  kembali ke bahtera masing-masing. Selepas lanun-lanun itu pergi, jurumudi membuat helah sekali lagi dengan mengaku dirinyalah yang menyelamatkan geliung itu daripada serangan lanun kepada Tuanku Nakhoda. Dia menunjukkan kerisnya yang berdarah selepas dia menikam seekor ayam.  Tuanku Nakhoda Tua percaya penipuan jurumudi dan memerintahkan Mualim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu. Tuan Puteri Dayang Seri Jawa begitu geram dengan tindakan ayahandanya yang tidak usul periksa. Apabila mengetahui perkara sebenar Tuanku Nakhoda Tua memohon maaf kepada Awang Sulung yang juga berketurunan raja dan mengahwinkannya dengan tuan puteri.
                 Beberapa hari selepas mereka berkahwin, geliung meneruskan pelayaran merentasi beberapa pulau sehinggalah sampai ke Negeri Pati Talak Terangganu. Awang Sulung dijemput naik ke darat oleh raja negeri tersebut. Semasa naik ke darat Awang Sulung ditemani oleh jurubatu dan Bujang Selamat. Mereka membawa bersama ayam Awang Sulung yang bernama Kinantan Suci. Kedatangan Awang Sulung ke Negeri Pati Talak Terengganu menimbulkan kehairanan rakyat negeri tersebut apabila segala alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi . Awang Sulung meminta kebenaran daripada raja untuk menyabung ayam. Pada peringkat awal pertarungan, Kinantan Suci hampir tewas tetapi setelah diseru oleh Awang Sulung ayam itu berjaya menaji  ayam lawan sehingga terputus kepala. Selesai menyabung ayam barulah Awang Sulung naik ke balairung seri, disambut oleh pembesar dan rakyat negeri itu.

TEMA
Cerita ini mengemukakan tema kelebihan dan kesaktian yang dimiliki Awang sulung Merah Muda dan kemampuannya menghadapi pelbagai rintangan sepanjang pelayaran ke Tanah Jawa.Sebagai contoh, Awang Sulung Merah Muda boleh menggerakkan geliung tanpa memegang kemudi,menenangkan air laut dengan mencampakkan tulang pelanduk putih,dan menukarkan air laut yang masin menjadi manis.Selain itu,semasa ketibaan baginda ke Negeri Pati Talak Terengganu, alat-alat kebesaran dan seluruh isi alam berbunyi sendiri seolah-olah menyambutnya dan ketika baginda menyeru ayamnya Kinantan Suci yang hampir tewas semasa menyabung akhirnya dapat mengalahkan lawannya,Si Jalak.

PERSOALAN
  • Persoalan cinta tidak mengenal rupa paras
Tuan Puteri Dayang Seri Jawa jatuh hati kepada Awang Sulung kerana melihat kelebihan yang dimiliki oleh Awang Sulung walaupun ketika itu Awang Sulung comot dan hitam. 
  • Persoalan perasaan dengki dan iri hati 
Jurumudi sangat dengki kepada Awang Sulung yang mendapat layanan yang baik daripada Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sehingga sanggup menyuruh Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi di dalam tempurung berbulu kepada Awang Sulung. 
  • Persoalan kewibawaan dan pengaruh yang kuat 
Lanun-lanun tidak berani menyerang geliung yang dinaiki Tuan Puteri Dayang Seri Jawa apabila mendengar suara Awang Sulung Merah Muda. 
  • Persoalan menipu untuk mencapai sesuatu tujuan 
Jurumudi menipu Tuanku Nakhoda Tua dengan mengatakan dialah yang menyelamatkan geliung daripada serangan lanun dengan menunjukkan keris yang berdarah ayam. Tujuannya supaya dia dapat berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa. 
  • Persoalan menghormati tetamu 
Awang Sulung disambut oleh pembesar istana dan rakyat Negeri Pati Talak Terengganu semasa naik ke balairung seri.

WATAK UTAMA
AWANG SULUNG MERAH MUDA
1.Berasal dari Negeri Bandar Mengkalih
2.Anak kepada Tuanku Si Helang Laut dan Cucu kepada Tuanku Si Helang Mawai
3.Menyamar sebagai budak hitam yang comot dan hodoh di geliung Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
4.Berwajah tampan – setelah mandi dengan menggunakan limau selimpat pagar dan sabun wangi terserlahlah ketampanannya .
5.Berkahwin dengan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa
6.Memiliki pelbagai kesaktian –  Dia dapat menenangkan air laut yang bergelora, menukarkan air masin menjadi manis dan tidak perlu memegang kemudi untuk menggerakkan geliung.
7.Patuh kepada peraturan - Dia meminta Bujang Selamat bertanyakan adat bergelanggang sebelum menyabung ayam.
8.Merendah diri – apabila disuruh mengemudi geliung menggantikan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dia mengatakan sekiranya berada di daratan bolehlah dia menjadi penghalau ayam, penunggu itik atau tukang sapu rumah .
9. Berani-Mampu mengalahkan serangan lanun-lanun seorang diri

WATAK SAMPINGAN
TUAN PUTERI DAYANG SERI JAWA
1. Anak kepadaTuanku Nakhoda Tua
2.Mengemudi geliung setelah jurumudi pengsan
3.Jatuh hati kepada Awnag Sulung Merah Muda
4. Prihatin-Baginda marah apabila Si Kembang Cina memberi sisa-sisa nasi dalam tempurung berbulu dan ketika jurumudi dengki kepada Awang Sulung
5.Suka menguji-Baginda menguji kelebihan Awang Sulung dengan menyuruhnya mengambil air
6. Sensitif – dia cuba membunuh diri hendak terjun ke laut apabila mendengar Awang Sulung hendak kembali ke Bandar Mengkalih.
7.Tegas dalam menegakkan kebenaran-Baginda menyanggah pendapat ayahandanya yang terpengaruh oleh tipu daya jurumudi.

NILAI
1.Nilai keberanian-Awang Sulung berani menentang dengan lanun-lanun yang menyerang geliung Tuan Puteri.
2.Nilai kasih sayang-Tuan Puteri jatuh hati kepada Awang Sulung dan ingin terjun ke dalam laut apabila Awang Sulung berhasrat pulang ke Bandar Mengkalih.
3.Nilai merendah diri-Awang Sulung yang berketurunan raja sanggup menyamar sebagai budak hitam yang comot.
4.Nilai keyakinan- Tuan Puteri Dayang Seri Jawa sanggup mengambil alih tugas mengemudi kapal sewaktu jurumudi pengsan .
5.Nilai keinsafan –Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf atas kesalahannya
kepada Awang Sulung.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah insaf apabila melakukan kesilapan agar orang lain tidak membenci kepada kita.Contohnya,Tuanku Nakhoda Tua insaf dan memohon maaf kepada Awang Sulung setelah mengetahui perkara yang sebenar.
2. Kita perlulah saling mengasihi supaya hubungan berkekalan.Tamsilnya,Awang Sulung dan Tuan Puteri saling menyayangi selepas berkahwin.
3. Kita tidak sepatutnya  meninggalkan kawan kita yang berada dalam kesusahan.Contohnya,Jurumudi lari menyelamatkan diri apabila lanun menyerang geliung mereka.

4. Kita hendaklah berani menghadapi cabaran agar masalah dapat dielakkan.Awang Sulung berani berlawan dengan lanun-lanun yang menyerang geliung Tuan Puteri.

No comments:

Post a Comment