Friday, 26 December 2014

KUMPULAN 1

TRADISI KELUARGA


1.Definisi tradisi keluarga .

Menerima,menghormati dan mengamalkan sesuatu kebiasaan,adat,dan kepercayaan yang diwarisi secara turun-temurun dalam keluarga.

2. Kepentingan mengekalkan tradisi keluarga.

 a. Dapat menyatupadukan anggota keluarga.
 b. Mengeratkan hubungan kekeluargaan.
 c. Supaya tradisi ini tidak pupus atau hilang.
 d. Supaya generasi akan datang mengenali tradisi keluarga.
 e. Sebagai jambatan untuk menghubungkan generasi muda dengan generasi tua.

3. Cara-cara mengekalkan tradisi keluarga.

 a. Amalan tradisi keluarga sebagai satu cara hidup
 b. Tidak malu atau tidak memandang rendah terhadap amalan tradisi keluarga.
 c. Menasihati ahli keluarga agar tidak melupakan tradisi keluarga.



Kebaikan-kebaikan tradisi makan bersama-sama keluarga

    Tradisi makan bersama-sama keluarga di rumah jarang diamalkan. Setiap orang sangat sibuk dengan kerja masing-masing dan tiada masa untuk mengamalkan amalan yang sangat baik ini. Terdapat pelbagai kebaikan  makan bersama-sama keluarga.

    Antara kebaikannya termasuklah mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan. Sebelum makan bersama-sama, ahli  keluarga akan memasak bersama-sama untuk menyediakan makanan. Ini termasuklah ibu,bapa serta anak tersayang. Semasa memasak anak-anak bolehlah membantu ibu untuk memotong sayur-sayuran serta membasuh pinggan mangkuk. Hal ini secara tidak langsung akan melahirkan suasana yang aman dan damai serta harmoni di dalam sesebuah keluarga justeru mengeratkan hubungan kekeluargaan.
   

   Tabiat makan makanan yang sihat juga mampu diwujudkan jika makan bersama-sama dengan keluarga. Kebanyakan orang yang bekerja akan makan di luar dengan kerap kali. Dengan adanya tabiat makan bersama keluarga, ibu bapa bolehlah ke rumah untuk makan bersama anak-anak tersayang. Kita semua sedia maklum bahawa makanan di luar seperti yang dijual di gerai-gerai  serta restoran adalah kurang sihat dan tidak terjamin kebersihannya. Perkara ini boleh menjejaskan kesihatan ahli keluarga. Jika makanan disediakan di rumah serta dimakan dirumah, sudah pasti kelazatan dan kebersihan makanan serta minuman tersebut terjamin.

   Semasa makan bersama ahli keluarga,meraeka  boleh menggunakan masa ini untuk bertanyakan khabar serta situasi di tempat kerja dan di sekolah masing-masing. Mereka juga boleh bertukar-tukar pendapat serta berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh mereka dengan lebih terbuka. Situasi sebegini dapat mengekalkan institusi keluarga daripada runtuh.

   Kebaikan dengan mengamalkan tabiat makan bersama-sama keluarga adalah tidak ternilai harganya. Oleh itu,setiap keluarga haruslah mengamalkan tabiat makan bersama keluarga mereka.



Warisi tradisi keluarga

WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Ogos 2013

Mohd Bukhari berniaga kuih dan makanan untuk hari raya di Guchil


KUALA KRAI – Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Peribahasa itu sesuai menggambarkan kehidupan seorang pemuda yang mengikut jejak langkah ibunya yang menjual biskut dan kuih raya  sejak lebih 35 tahun.

Melihat dan mengikut ibunya, Hasnah Abdullah,52, berniaga setiap kali tiba musim perayaan seolah-olah  memberi bekalan ilmu buat Mohd Bukhari Mahmood, 27, dari Sungai Sok, dekat sini.


Lantaran itu, percubaannya berniaga kuih raya sebaik tamat belajar membuahkan kejayaan kerana perniagaan kuih muih serta kerepek setiap kali menjelang Aidilfitri sudah sebati dengan kehidupan seluruh ahli keluarganya.


Jadi katanya tidak hairanlah apabila kesemua adik beradiknya mengikut jejak langkah ibunya berniaga kecuali seorang yang menjadi pendidik.


Mohd Bukhari berkata, pengalaman mengikut ibunya berniaga sejak kecil menyebabkan kehidupannya sudah sebati dengan perniagaan kuih muih dan biskut raya.


Oleh itu,sebaik meninggalkan alam persekolahan, dia mengambil inisiatif berniaga dan usaha itu tidak sia-sia apabila memberikan pulangan lumayan buatnya.


Bermula dari detik itulah dengan bekalan ilmu kemahiran berniaga, anak muda yang telah berniaga hampir 10 tahun ini memasang impian untuk terus meluaskan perniagaan kuih dan biskut raya setiap kali tibanya musim perayaan.


Anak keempat daripada sembilan beradik ini berkata, dia berniaga di merata-rata tempat dengan dibantu rakan-rakannya.


Katanya, selain biskut dan kuih raya, dia turut menjual karipap mini, popia dan pelbagai jenis kerepek yang dibelinya di Johor.


 “Setiap kali musim perayaan, kerepek maruku saya mampu jual sekitar 3,000 bungkus.


“Perniagaan ini merupakan perniagaan tradisi keluarga dan saya berhasrat untuk meneruskan lagi peniagaan ini pada masa akan datang,” katanya.


Rohaini cekal pasar rempah tradisi keluarga

                 Rohaini Ismail menunjukkan rempah-rempah yang diisi dalam botol untuk ‘dicuba’ pelanggan.

 Oleh : YAP LEE YING
Gambar : IDZHAM AHMAD

Adalah menjadi impian Rohaini Ismail untuk membawa rempah tradisi keluarganya ke mata dunia.

Berbekalkan semangat dan potensi bidang keusahawanan itu, beliau yang sebelum ini berhijrah bersama suami ke Amerika Syarikat (selepas mendirikan rumah tangga) kini kembali ke tanah air bagi tujuan berkenaan.

Terdedah dan meminati bidang masakan sejak kecil, Rohani yang berwatakan ceria kini menghasilkan enam produk rempah termasuk garam massala, beriyani, kurma, kari ikan, kari daging dan rasom.

Pada peringkat permulaan, pasaran produk Rohani  hanya tertumpu di kedai-kedai runcit berhampiran seperti Batu Lanchang, Pasar Awam Kampung Baru, Air Itam, dan Pasar Awam Chowrasta, Jalan Penang.

“Pada peringkat ini (permulaan), memang susah nak dapat pasaran. Tambahan pula, pembungkusan rempah akak tak lawa.

“Apa yang akak buat adalah pastikan pelanggan bau atau hidu produk rempah yang siap diisi dalam botol dan cuba dulu rasa rempah akak yang unik serta turun temurun ini,’’ kata Rohaini kepada Buletin Mutiara (BM) pada sesi temuramah di kediamannya baru-baru ini.

Dengan penuh yakin, Rohaini menyatakan bahawa masakan menggunakan rempah istimewanya tidak akan menjadi likat dan bertali.

Malah, masakan boleh dihangatkan antara dua hingga tiga hari dengan jaminan yang makanan tidak akan basi dan rasanya masih sama sedap.

Rempah  ratus yang masih belum dikisar.

Penglibatan Rohaini dalam bidang penghasilan atau keusahawanan rempah bermula tiga tahun lalu iaitu ketika beliau berada di Amerika Syarikat.

“Akak suka masak, malah, suami pula suka makan.

“Di sana (Amerika Syarikat), selalu akak masak untuk kawan-kawan. Malah, di atas permintaan ramai akak telah membuka kelas memasak di rumah mengajar ‘anak-anak murid’ pelbagai latar belakang seperti Morocco, Brazil, Sepanyol dan lain-lain.

“Dari situ, atas dorongan suami, akak mula memasarkan rempah-rempah melalui laman web dengan target nak perkenalkan masakan Malaysia di mata dunia,’’ jelasnya.

Rohaini memberitahu, tidak dinafikan, beliau mempunyai impian untuk membuka restoran sendiri.

“Antara masakan paling popular mak dan ayah adalah nasi tomato dan beriani. Malah, setiap hari, sudah tentu 24 ekor ayam goreng yang disalut rempah khas habis dijual,’’ ujar Rohaini yang begitu merindui arwah ayahnya.

Walaupun sering membantu kedua ibu bapanya dengan kerja-kerja restoran,Rohaini tidak pernah diberi peluang menyediakan lauk-pauk yang dijual.

 “Ayah dan mak tidak pernah bagi kami dua beradik (daripada lima beradik) sentuh, hanya dibenarkan tengok sahaja.

“Ketika berusia 30 tahun, apabila berpindah ke rumah sendiri di Teluk Kumbar, buat pertama kalinya, saya masak dan menu masakan adalah bubur lambuk walaupun bukan pada bulan Ramadhan.

“Tambah membanggakan, ayah kata sedappp,’’ katanya sambil tersenyum.

Teruja dan diinspirasikan dengan pujian tersebut, Rohaini kian mendalami bidang berkenaan dan melibatkan diri dalam pembuatan rempah pada 90-an.

“Walaupun resipi turun temurun, saya terpaksa kaji dan ukur balik sukatan-sukatan campuran rempah sedia ada kerana mak cuma guna sukatan ‘jemput-jemput’, tiada sukatan secara bertulis,’’ jelas beliau.

Sebagai perancangan masa depan, Rohaini berharap produk keluarannya mampu memperoleh pengiktirafan halal selain bimbingan bagi mempertingkatkan kemahiran sedia ada.

Malah, sekiranya terdapat pihak yang ingin membuat joint venture, Rohaini tidak akan menolak rezeki itu.

Pada masa sama, adalah menjadi harapan Rohaini untuk memperluaskan pasaran produk rempah beliau.


      Batik lambang seni warisan kreatif

Diterbitkan pada Rabu, 24 April 2013 00:40
Oleh Che Nor Hasimah Che Hamzah

   Batik ialah sejenis kraf tangan yang semakin popular di Malaysia dan juga negara-negara lain kerana mempunyai sejarahnya tersendiri.Batik telah disebut dalam Sejarah Melayu pada abad ke-17. Bagi lelaki, batik boleh dipakai di majlis-majlis makan malam dan wanita memakai pakaian batik sebagai pakaian formal serta menggabungkan batik dengan fesyen moden. 
    Mohd Zain Mat Hassan, pemilik kilang batik tradisional menjalankan perniagaan batik sejak 22 tahun yang lalu melalui kemahiran warisan keluarga. Kilang atau syarikatnya didaftarkan sebagai Azimi Batik Sdn. Bhd, Kota Bharu, Kelantan sebagai tanda penghargaan buat isterinya Nor Azimi Muhamad. 
    Perniagaan beliau pada mulanya dijalankan secara kecil-kecilan atas dasar mencari pekerjaan yang berkonsepkan perniagaan dari rumah kerana desakan-desakan tertentu. Namun, rezeki menyebelahinya apabila modal pertama yang dikeluarkan untuk menjalankan perniagaan ini sebanyak RM10,000 mampu memberikan keuntungan yang lumayan. Beliau mampu menghasilkan keuntungan sebanyak RM20,000 sebulan dan dianggarkan keuntungan mencecah RM5,000 seminggu. 
    Katanya, industri batik adalah satu bidang yang menonjolkan kreativiti seseorang sama ada pemilik atau pelukis batik itu sendiri. Perniagaan ini mampu mengorak langkah yang lebih jauh apabila beliau berjaya melakar kejayaan dan semakin ramai peniaga yang mendapatkan bekalan daripada kilangnya.
    Sekarang, bilangan pekerjanya sudah menjangkau 20 orang. Kelebihan bidang perniagaan batik termasuklah dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat kampung yang tidak mempunyai pekerjaan. Hasil barangan batik ini dipasarkan secara meluas di Kelantan dan Terengganu melalui penghantaran yang dilakukan sendiri.
    Kejayaan syarikat dapat dilihat apabila boleh menghasilkan inovasi produk baru dengan mengubah bentuk reka cipta batik yang sentiasa berubah mengikut kehendak pelanggan. Pakaian batik yang dihasilkan termasuklah blaus, baju tidur, kemeja lelaki, kain pasang dan,uniform batik sekolah. 
   Tambahnya lagi, keuntungan tidak akan datang selagi kita tidak berani mencipta dan memanfaatkan peluang yang ada. Tidak semua orang berani berhadapan dengan risiko tetapi mereka yang ingin mengubah kehidupannya akan meletakkan risiko sebagai satu peluang kejayaan.
    Selain itu, melihat kepada aspek budaya, batik mempunyai populariti di seluruh dunia. Motif yang paling popular adalah daun dan bunga. Batik di Malaysia sering memaparkan tumbuh-tumbuhan dan bunga untuk mengelakkan tafsiran imej manusia dan haiwan sebagai berhala, selaras dengan doktrin Islam. Walau bagaimanapun, tema rama-rama adalah terkecuali. Batik Malaysia juga terkenal dengan reka bentuk geometri seperti pilin.
    Menurut En Quan Chin Choon, pemilik kilang Craf Batik Sdn Bhd, Teluk Bahang, Pulau Pinang, minatnya terhadap batik bermula sejak zaman persekolahan.Beliau meminati kraf tangan batik dan berhasrat membuka kilang batik apabila dewasa dan impiannya telah menjadi kenyataan. 
   Beliau menyatakan lagi bahawa batik merupakan satu industri yang semakin dikomersialkan dan pemakainya terdiri daripada orang awam yang bekerja di sektor kerajaan seperti guru, pensyarah, pegawai dan lain-lain. Biasanya batik ini lebih diminati oleh para guru. Pasaran agak meluas sejak batik ini diperkenalkan dalam internet di seluruh dunia. 
   Jelas beliau, antara golongan yang selalu membeli batik ialah golongan kakitangan awam kerana pada hari-hari berkaitan mereka perlu memakai batik. Cara yang digunakan untuk meningkatkan kualiti batik ialah menghasilkan corak-corak yang unik seperti   bunga,burung, rama-rama dan lain-lain. 
    “Purata harga pula sekitar RM59.90 sehingga RM250.00 bagi beberapa jenis pakaian batik seperti kemeja, blaus, kain pasang, skarf, t-shirt dan,lain-lain.“Batik hasil lukisan tangan lebih mahal berbanding batik cop kerana mempunyai nilai keunikan tersendiri dan tiada persamaan dengan batik yang lain,” jelas Quan.Menurut beliau lagi, corak yang paling digemari oleh pelanggan ialah corak bunga dan rama-rama.Hal ini demikian kerana naluri manusia yang suka keindahan alam sekitar. Bahan-bahan yang diperoleh untuk menghasilkan batik ini ialah warna, silicate, lilin, rozel dan kain. Bahan-bahan ini didapati dari Malaysia dan juga bahan luar negara. “Saya akan memperluaskan lagi industri batik dengan menghasilkan corak-corak yang lebih unik dan menarik perhatian pembeli. Perubahan corak yang lebih baik akan di buat dari semasa ke semasa,” katanya.
   Menurut seorang pelukis batik, Nur Marina Ahmad, beliau amat meminati kraf tangan batik selepas tamat persekolahan lagi. Impiannya adalah meneruskan perniagaan batik dan ingin menghasilkan batik yang bermutu tinggi. Idea-idea yang digunakan untuk melukis batik diperoleh secara spontan dan mungkin ideanya merupakan satu anugerah yang tidak semua orang miliki. “Saya memilih bidang ini kerana menggemari seni dan keunikan batik itu sendiri. Antara corak yang digemari oleh pelanggan ialah bunga dan corak rama-rama,” jelas Marina.
   Pembuatan batik dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu dengan menggunakan lukisan tangan dan block painting. Lukisan tangan adalah jenis batik yang menggunakan berus untuk melukis. Sebaliknya block painting merupakan jenis batik yang menggunakan block kekal dengan cara menekap pada kain untuk menghasilkan corak batik . Batik adalah salah satu tradisi atau kraf tangan warisan yang perlu dikekalkan dan dipopularkan supaya generasi masa hadapan masih mengenali batik ini sebagai seni warisan lama.

No comments:

Post a Comment