Sunday, 30 November 2014

KERJASAMA NEGARA SERANTAU DALAM MENANGANI ISU GLOBAL - KUMPULAN 6(JASON)

PENCARIAN MH370 BUKTIKAN TENTERA PELBAGAI NEGARA BOLEH BEKERJASAMA

Gerakan besar-besaran mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 menjadi bukti jelas betapa tentera dari pelbagai negara boleh bekerjasama dan memupuk kepercayaan antara satu dengan lain.

 Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen berkata walaupun sesetengah kawasan mencari pesawat itu terlibat dengan pertikaian wilayah, namun tentera dari negara di rantau ini dan masyarakat antarabangsa berupaya mengetepikan perbezaan pendapat antara mereka.

"Tentera rantau ini dan negara mereka memupuk sikap saling mempercayai apabila mereka membantu satu sama lain atau bekerjasama untuk membantu sebuah negara lain. "Saya sebut tentang kesan positif terhadap ketenteraan melalui kerjasama yang wujud dalam usaha mencari MH370 ketika ini," katanya dalam ucapan pada Forum Putrajaya 2014 hari ini.

 Bertemakan 'Mengukuhkan Keselamatan dan Kestabilan Serantau', forum itu diadakan bersempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-14. Ng berkata respons antarabangsa terhadap kejadian kehilangan pesawat itu menunjukkan dengan jelas peranan pasukan tentera moden yang semakin berkembang.

"Kebanyakan respons ketenteraan terhadap tragedi awam melibatkan MH370 adalah secara spontan kerana masyarakat global bersimpati dengan kesedihan yang terpaksa ditanggung keluarga dan rakan penumpang MH370. "Pertolongan antarabangsa datang mencurah-curah. Di samping itu, respons ketenteraan global terhadap MH370 bukanlah sesuatu yang bersifat 'one-off' dan menunjukkan hingga sejauh mana pihak tentera kini menyumbang secara aktif dalam bidang bukan tradisional," katanya.

 Singapura, kata beliau, mengerahkan kapal penyelamat kapal selam, sebuah frigate bersama helikopter, sebuah missile corvette, sebuah pesawat C130 serta sebuah Fokker-50 miliknya dan akan terus membantu Malaysia selagi diperlukan. Menurut Ng, penglibatan tentera juga semakin meningkat dalam menangani cabaran bukan keselamatan berkaitan keganasan, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, bencana alam, wabak biologi dan keselamatan siber.

Beliau berkata melalui langkah pembinaan keyakinan, risiko tersilap membuat perkiraan, termasuk berkaitan cabaran tradisional seperti pertikaian wilayah, dapat dikurangkan. Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang pada 8 Mac setelah kira-kira sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. – Bernama, 14 April, 2014.

No comments:

Post a Comment