PERIBAHASA
Bahagian peribahasa SPM biasanya berkisar pada beberapa bentuk soalan. Hal ini dinyatakan di bawah:
A. Membina ayat daripada peribahasa:
Contoh:
1. bagai menatang minyak yang penuh
Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai menatang minyak yang penuh sehinggalah mereka dewasa.
2. seperti katak di bawah tempurung
Sikap Ng Khai Liang yang sukar menerima perubahan yang berlaku menyebabkan dia berfikiran tertutup seperti katak di bawah tempurung.
3. seperti paku dengan penukul
Pelajar yang malas dan bersikap seperti paku dengan penukul tidak mungkin dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
4. ketam mengajar anaknya berjalan lurus
Masih ramai ibu bapa yang malas membaca tetapi mahu anak mereka rajin mengulang kaji pelajaran samalah seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang diberi:
Contoh: Beri tiga peribahasa yang sesuai dengan cerita yang diberikan.
1. Pak Hassan terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh kasih sayang sanggup melakukan perkara yang terkutuk itu. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu terlibat dalam kes ragut yang telah memalukannya. Tindakan anaknya yang telah membunuh mangsa itu tidak dapat diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang setimpal.
i. bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih sayang)
ii. bagai menyonteng arang ke muka (memalukan)
iii. anak emas (anak kesayangan)
iv. air muka (diri, peribadi)
2. Pasangan pengantin di atas pelamin itu amat sepadan. Pasangan itu bakal melayari hidup sebagai suami isteri. Setiap pasangan perlu bersabar dan jika ada perselisihan pendapat, mereka perlu bertolak ansur serta saling memaafkan. Tanpa sikap tolak ansur sesebuah keluarga tidak akan dapat bertahan lama dan perasaan kasih saying akhirnya akan lenyap. Hal ini boleh menyebabkan perceraian berlaku.
i. bagai pinang dibelah dua.
ii. sedangkan lidah lagi tergigit.
iii. bagai embun di hujung rumput.
C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi:
Contoh:
1. Setelah Berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis itu terpaksa pula bergelut dengan seorang lelaki yang hendak meragut beg tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.
2. Walaupun telah lama tinggal di luar negara namun akhirnya Rony pulang semula ke kampung halamannya kerana berasakan kampung halamannya lebih tenteram.
* hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.
3. Apabila Encik Santos meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun yang lalu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan saling berbalah.
* bagaikan anak ayam kehilangan ibu.
D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai:
Contoh:
1. Tok penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama …………(i)…………… Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ……(ii)…….. Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha untuk menyelesaikan masalah …………(iii)………..nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.
i. rumah siap pahat berbunyi
ii. mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
iii. anak buah
Latihan 1:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.
1. bagaikan kera mendapat bunga
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
3. burung terbang dipipiskan lada
4. menegakkan benang yang basah
5. bagaikan telur dihujung tanduk
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
8. matinya semut kerana gula
9. air dicincang tidak akan putus
10. bagaikan embun di hujung rumput
Latihan 2:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.
1. seperti mendukung biawak hidup
2. sudah jatuh ditimpa tangga
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
9. bagai mencurah air ke daun keladi
10. kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak Nampak
Latihan 3:
Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.
1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
4. seperti pelanduk dua serupa
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
6. seperti ular kena palu
7. mati semut kerana gula
8. bagai mendapat durian runtuh
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan
Jawapan Latihan 1
1. bagaikan kera mendapat bunga
-Orang yang tidak tahu menghargai pemberian
orang lain.
-Tidak berguna kita memberi hadiah basikal ini
kepadanya kerana dia bagaikan kera mendapat bunga dan tidak menghargai
pemberian kita itu.
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya
terpalit.
-disebabkan seorang berbuat keburukan, nama
kumpulan menjadi buruk.
-Sikap Ali yang suka berbuat jahat itu
menyebabkan nama baik sekolah kita tercemar kerana seekor kerbau membawa
lumpur, semuanya terpalit.
3. burung terbang dipipiskan lada
-mengharapkan sesuatu yang belum pasti.
-Janganlah terlalu berharapkan sangat keuntungan
pelaburan ini bagai burung terbang dipipiskan lada kerana belum pasti
lagi keuntungan anak menjelma.
4. menegakkan benang yang basah
-cuba menegakkan sesuatu yang salah atau
tidak benar.
-Janganlah kamu cuba menegakkan benang basah
kerana semua rakan kita telah tahu bahawa perkara itu tidak benar.
5. bagaikan telur dihujung tanduk
-dalam keadaan berbahaya.
-Sejak meminjam wang daripada along tempoh hari,
hidupnya bagai telur di hujung tanduk.
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
-orang berilmu yang merendah diri tidak akan
hilang ilmunya.
-Walaupun pandai namun James sentiasa merendah
diri kerana ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
-mendapat keuntungan yang banyak secara
tiba-tiba.
-Manprit telah menjadi kaya-raya sejak berkahwin
dengan anak jutawan itu dan bagaikan tikus jatuh di kepuk.
8. matinya semut kerana gula
-mendapat kesusahan kerana tamak akan harta
benda.
-Oleh sebab terlalu tamak akan kuasa dan harta,
akhirnya Johan hidup melarat kerana matinya semut kerana gula.
9. air dicincang tidak akan putus
-pergaduhan di antara adik-beradik tidak akan
berpanjangan tetapi akan berbaik semula.
-Pergaduhan anak-anak Pak Samad tidak
berpanjangan kerana air dicincang tidak akan putus.
10. bagaikan embun di hujung rumput
-kasih-sayang yang tidak berkekalan.
-Cinta Sam Kong kepada Winnie bagaikan embun
di hujung rumput dan tidak berkekalan.
---------------------------------------------------------------------------------------------
Jawapan Latihan 2
1. seperti mendukung biawak hidup
-membuat pekerjaan yang menyusahkan diri.
-Perbuatan awak menyertai kongsi gelap itu bagaikan
mendukung biawak hidup.
2. sudah jatuh ditimpa tangga
-menerima nasib malang/ kesusahan yang
bertimpa-timpa/ berterusan.
-Hidupnya bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga
kerana selepas kematian anaknya, dia kematian isterinya pula.
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati
kelaparan
-mengutamakan orang lain daripada keluarga
sendiri.
-Sikap Abu membiayai pengajian gadis itu
bagaikan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan kerana
keluarganya sendiri hidup dalam kedaifan.
4. ditelan mati emak, diluah mati bapak
-dalam keadaan serba salah.
-Sam Chong tidak tahu membuat pilihan untuk
mengikut ibunya atau bapanya setelah mereka bercerai kerana ditelan mati
emak, diluah mati bapa.
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua
bersarang rendah
-berbuat baik kerana sesuatu sebab yang
tersembunyi.
-Saya tahu, Sabrina berbuat baik untuk memikat
Manprit kerana kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah.
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
-orang yang tamak akan rugi.
-Jangan terlalu tamak bagaikan anjing dengan
bayang-bayang, nanti kamu sendiri yang rugi.
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan
betina
-telah tahu keadaan sebenar walaupun hanya
melihat luarannya sahaja.
-Saya tahu tujuan kamu datang ke rumah saya
kerana sekilas ikan di air, sudahku tahu jantan betina.
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
-membuat kerja bersungguh-sungguh sehingga
mendatangkan hasil.
-Belajarlah dengan tekun hingga berjaya umpama genggam
bara api biar sampai menjadi arang.
9. bagai mencurah air ke daun keladi
-membuat kerja dengan sia-sia.
-Nasihat guru kepadanya bagai mencurah air ke
daun keladi kerana dia tidak pernah mahu mendengarnya.
10. kuman di seberang laut nampak, gajah di
depan mata tak nampak
-kesalahan orang lain yang sedikit kita
nampak tetapi kesalahan kita sendiri yang besar kita tidak nampak.
-Janganlah asyik menyalahkan orang lain dan
bersikap kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.
----------------------------------------------------------------------------------------
Jawapan Latihan 3
1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
-di mana ada punca rezeki/ keramaian, di
situlah orang ramai berkumpul.
-Di tempat menjual loteri itu terlalu ramai
orang berkumpul bagaikan lalat mengharung najis.
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
-pembangunan yang tumbuh dengan pesat.
-Sejak Putrajaya dimajukan, kawasan petempatan
di Bangi semakin maju bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
-usaha gigih yang berterusan.
-Jika kita gigih berusaha, lama-kelamaan kita
akan menempa kejayaan kerana sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain.
4. seperti pelanduk dua serupa
-mempunyai wajah yang serupa.
-Saya menegur orang itu kerana saya menyangkanya
Manprit Singh sedangkan dia hanya pelanduk dua serupa.
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
-mendidik anak biarlah sejak mereka masih
kecil.
-Ibu bapa perlu mendidik anak mereka sejak dari
kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
6. seperti ular kena palu
-barisan yang bengkang-bengkok.
-Guru disiplin itu menjerit kerana terlalu marah
apabila melihat barisan pelajar tersebut tidak lurus seperti ular kena palu.
7. mati semut kerana gula
(Sila rujuk maksud dan ayat di atas = soalan
ulangan)
8. bagai mendapat durian runtuh
-mendapat keuntungan dengan banyak.
-Pada minggu lepas, Nazri mendapat durian
runtuh apabila peniaga itu menghadiahkan beliau sebuah kereta baru.
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
-dua orang yang rapat bergaul tetapi
mempunyai cita-cita yang berbeza.
-Walaupun Ah Keong dan Rajoo sangat rapat,
tetapi masing-masing mempunyai impian yang berbeza umpama tidur sebantal
tetapi mimpi lain-lain.
10. mendengar guruh di langit, air tempayan
dicurahkan
-mendengar sesuatu keuntungan yang belum
pasti, apa yang telah ada dibuang/ ditinggalkan.
-Apabila mendengar guruh di langit, air
tempayan dicurahkan kerana apabila mendengar berita yang belum jelas bahawa
dia akan mendapat pekerjaan baru itu, Ah Cun berhenti daripada kerja lamanya.
No comments:
Post a Comment