Pendermaan Organ : Anugerah hidup
Oleh: Lim Jia Hui
Sedasawarsa ini
sering meninti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia
ini tentang isu pendermaan organ. Pendermaan organ merupakan satu proses
mendermakan bahagian tubuh badan seseorang sama ada organ atau tisu untuk
tujuan transplantasi. Transplantasi merupakan suatu pembedahan yang melibatkan
pertukaran organ atau tisu yang mengalami kegagalan fungsinya dengan lebih memuaskan
daripada seseorang penderma yang telah meninggal dunia. Dengan cara ini, organ
yang diderma dapat digunakan sebagai organ ganti untuk menyelamatkan pesakit.
Ini dapat mengubahkan kehidupan beberapa orang yang mengalami kegagalan organ
supaya menjadi lebih selesa dan sempurna serta dapat menyelamatkan nyawa mereka
dari maut. Antara organ dan tisu yang boleh didermakan ialah buah pinggang,
jantung, paru-paru, mata dan sebagainya. Pendermaan organ bukanlah suatu yang
baru di Malaysia kerana ia adalah satu kaedah rawatan yang telah diterima ramai
di Negara kita. Bilangan pesakit yang memerlukan pemindahan organ semakin
meningkat dari tahun ke tahun, namun bilangan pengikrar yang ingin menderma
setelah kematian masih rendah.
Malah sejak tahun
1999, negara kita atas dasar keperluan, Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam
Penderma Organ telah ditubuhkan bagi menggalakkan rakyat di Negara kita
mendaftarkan diri sebagai pengikrar penderma organ. Dengan pertubuhan ini,
rakyat kita dilihat semakin optimis memberi respons terhadap pendermaan organ
yang sebelum ini seringkali menimbulkan ketakutan dan stigma negatif.
Perkembangan positif ini dibuktikan menerusi peningkatan jumlah individu yang
membuat ikrar atau mendaftar untuk menderma organ. Berdasarkan laporan data
dari Pusat Sumber Transplan Nasional, seramai 205,478 daripada jumlah
keseluruhan penduduk negara ini, iaitu 28.3 juta mendaftar sebagai pengikrar
penderma organ kardeverik. Peningkatan ini sebagai satu kerjayaan yang kecil
kerana menghampiri sasaran kerajaan untuk mencapai jumlah penderma seramai
287,000, iaitu satu peratus dari bilangan penduduk negara kita.
Sehubungan itu,
Pusat Sumber Transplan Nasional diwujudkan bukan sahaja untuk menambah bilangan
pengikrar penderma organ, malah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, selain
memberikan maklumat dan tentang kepentingan pendermaan organ. Dalam masyarakat
kita, masih terdapat segelintir bilangan rakyat yang mempunyai tanggapan yang
salah terhadap isu pendermaan organ. Jadi, pengetahuan tentang isu ini perlu
disebarkan supaya rakyat kita dapat mengetahui kepentingannya sekali gus
mengubah tanggapan mereka yang masih berada di takuk lama. Tambahan pula, Semua
agama di seluruh dunia seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh
mengiktirafkan pendermaan organ dan tisu sebagai satu amalan yang mulia. Maka ,
rakyat kita hendaklah berjasa kepada masyarakat kita dengan menghulurkan
bantuan terhadap pesakit dengan menjadi pengikrar penderma organ.
Penderma dibahagi
kepada dua jenis iaitu penderma hidup dan penderma kadaverik. Penderma hidup
hanya boleh mendermakan satu buah pinggang atau sebahagian hati, dan tulang
sahaja. Pendermaan semasa hidup terbahagi kepada dua jenis iaitu Pendermaan ada
pertalian saudara dan Pendermaan tiada talian saudara. Pendermaan semasa hidup
mempunyai pelbagai risiko walaupun risikonya rendah. Pendermaan ini terhad
kepada mereka yang mempunyai pertalian darah atau mereka yang mempunyai
hubungan emosi seperti suami isteri sahaja. Hal ini demikian kerana hendak
mengelakkan kegiatan jual beli organ berlaku. Sesiapa pun boleh mendaftar
sebagai penderma organ. Mereka yang berumur kurang daripada 18 tahun haruslah
mendapat kebernaran ibu bapa atau penjaga.
Penderma
Kadeverik adalah penderma yang telah meninggal dunia. Pendermaan ini amat
digalakkan dan diutamakan di negara kita dan tidak memberikan risiko kepada
penderma. Penderma kadaverik juga terbahagi kepada dua jenis iaitu kematian
otak dan kematian jantung berhenti berdegup. Mati otak ialah satu keadaan
apabila tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan
otak yang mengawal aktiviti penghidupan seperti pernafasan dan dengupan jantung
mati. Ini boleh terjadi akibat kecederaan otak yang menyebabkan bengkak otak
ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk, pendarahan spontan akibat pecah
urat saluran darah yang tidak normal atau tekanan darah yang tinggi, strok yang
teruk, barah otak dan sebagainya. Untuk pendermaan organ, seseorang yang
kematian otak tidak akan mempunyai tindak balas dan tidak bernafas. Dengan bantuan
mesin, jantung akan berfungsi seketika. Namun organ-organ lain akan mengalami
kerosakan dan akhirnya degupan jantung akan berhenti dengan sendiri walaupun
dengan sokongan mesin. Pengesahan kematian akan dilakukan oleh dua orang doktor
pakar yang bertauliah melalui dua ujian yang berasingan. Doktor-doktor tersebut
tiada kaitan dengan tugasan pengambilan atau transplantasi organ. Ujian
pengesahan yang dijalankan adalah mengikut protokol yang diterima pakai di
merata dunia. Setelah disahkan mati otak, sijil pengesahan akan dikeluarkan dan
mesin bantuan pernafasan akan diberhentikan. Sekiranya untuk pendermaan organ,
mesin akan diberhentikan di dewan bedah sebelum organ diperolehi. Penderma yang
meninggal dunia secara jantung terhenti boleh mendermakan semua jenis tisu jika
meninggal dunia di hospital. Bagi mereka yang meninggal di rumah hanya boleh
mendermakan mata (kornea). Pihak keluarga perlu menghubungi hospital kerajaan
terdekat bagi tujuan perolehan tisu tersebut di rumah.
Sebagai
analoginya, Tee Hui Yee yang berumur 14 telah mendapatkan jantung baru bagi
menggantikan jantung mekanikal yang telah digunakan sejak setahun lalu.
Penderma yang berumur 15 tahun yang maut dalam kemalangan jalan raya bukan
sahaja mendermakan jantungnya, tetapi juga menderma paru-paru, hati dan buah
pinggang yang dipersetujui oleh anggota keluarga dan warisnya. Dengan baik
hatinya, kini Hui Yee dapat hidup sebagai remaja normal dan juga boleh kembali
ke sekolah. Penderma itu telah memberikan kehidupan yang baru teerhadap orang
yang memerlukan bantuan.
Tidak salah jika
kita berbuat kebaikan kepada mereka yang memerlukan. Kehidupan yang bermakna
adalah kehidupan harmoni yang dapat dikongsikan bersama orang lain. Kita
mempunyai hak untuk membuat keputusan ke atas badan sendiri. Ramai pesakit di
Malaysia masih menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ. Dengan adanya ikrar
daripada penderma organ, kita dapat mengubah kehidupan seseorang yang mempunyai
kegagalan fungsi organ. Alangkah murninya hati seseorang mengikrarkan diri memberikan
semua organ dalamannya, dengan harapan selepas kematiannya, masih dapat
membantu orang lain. Kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada
mereka yang memerlukan bantuan ibarat hulurkan bantuan, ringankan beban.
Marilah kita bersama-sama mendaftarkan sebagai pengikrar penderma organ supaya
umat manusia dunia kita menjadi penyayang!
No comments:
Post a Comment